Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
Selamat Hari Guru
saya ucapkan kepada semua guru terutamanya rakan-rakan blogger Bahasa Melayu.
Sebagai guru,
kita memang sedar bahawa terdapat kesulitan dan masalah yang berkaitan dengan tugas
utama iaitu dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran dalam era
transformasi ini. Namun begitu, perkara tersebut perlu dilihat sebagai cabaran
yang perlu diatasi oleh semua guru secara proaktif. Guru-guru perlu tabah dan
gigih untuk mendepani cabaran semasa. Kita perlu bersiap sedia dengan perubahan
zaman iaitu dari era sains dan teknologi kepada era teknologi maklumat dan
komunikasi yang penuh dengan cabaran.
Perubahan zaman yang mencabar kita ini turut mengubah minda dan persepsi
murid-murid. Oleh itu, guru-guru perlu berfikir dengan lebih kreatif dan
inovatif untuk menyesuaikan diri dengan segala perubahan tersebut. Di samping
itu, perubahan zaman ini turut mengubah persepsi masyarakat dan perkara ini seterusnya
akan mengubah sistem pendidikan negara kita. Oleh hal yang demikian, perubahan
dalam sistem pendidikan turut mengubah sistem pentaksiran dan teknik pengajaran
guru perlu lebih inovatif agar bersesuaian dengan keperluan dan tuntutan zaman.
Teknik pengajaran guru yang berbentuk tradisional iaitu yang berpusatkan
guru memang patut ditukar kepada teknik pengajaran yang berpusatkan pelajar di
samping menggunakan kemudahan dan peralatan yang canggih dalam era ledakan teknologi maklumat dan komunikasi pada masa ini. Hal ini demikian kerana, pengajaran secara tradisional sudah tidak
sesuai lagi diamalkan pada masa ini, tambahan pula teknik tersebut tidak
menarik minat pelajar, malah membosankan mereka untuk belajar. Pelajar lebih
berminat dalam pengajaran dan pembelajaran jika guru lebih inovatif iaitu menggunakan teknik
pengajaran dan pembelajaran yang menarik perhatian mereka dan menggunakan bahan
bantu belajar yang terkini.