Pengikut laman ini

Saturday, November 12, 2011

Karangan STPM dan SPM - Isu Pencemaran Bahasa

       Soalan:
       Masalah  pencemaran bahasa semakin berleluasa dalam kalangan  masyarakat pada masa ini. Keadaan ini menyukarkan hasrat  kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. 
Huraikan langkah untuk menangani masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat di negara kita.

       Pencemaran bahasa merangkumi kesalahan bahasa dan aspek tatabahasa, struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan bahasa rojak dan sebagainya. Dalam era millenium yang rancak dengan pembangunan dan modenisasi ini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis hanya dipandang enteng oleh masyarakat. Bahasa yang dahulunya menjadi lingua franca’ kini kian hilang martabatnya apabila penggunaannya yang membabi buta tidak dikenakan tindakan. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil langkah yang proaktif dan efisien agar nilai dan martabat bahasa Melayu dapat dikekalkan.
         Salah satu langkah untuk membendung masalah penemaran bahasa ialah peranan pihak sekolah. Di peringkat sekolah, para pelajar sering didedahkan dengan pelbagai kesalahan bahasa oleh guru-guru Bahasa Melayu. Apabila para pelajar melakukan kesalahan dalam berbahasa, guru hendaklah menegur dan membetulkan kesalahan mereka. Biarkan mereka belajar daripada kesalahan mereka sendiri agar kesalahan tersebut tidak akan diulang lagi. Selain itu, pihak sekolah juga perlu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa. Sebagai contohnya, pihak sekolah mengadakan bulan bahasa yang diisi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti pidato, syarahan, kuiz bahasa dan aktiviti lain yang sesuai. Dengan penyertaan oleh para pelajar, secara tidak langsung mereka belajar tentang bahasa yang betul, bak kata pepatah Sambil menyelam minum air
Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu.  Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis di samping mengembalikan martabat bahasa Melayu khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kempen ini boleh dilancarkan melalui media massa kerana media massa merupakan satu komponen yang paling mudah untuk menyebarkan informasi. Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan badan bukan kerajaan (NGO), kempen ini dapat dijalankan dengan lancar. Dengan kewujudan kempen ini, diharapkan masalah pencemaran bahasa kalangan masyarakat dapat dielakkan.
Pihak kerajaan juga perlu mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa yang gramatis dalam segala urusan rasmi organisasi sama ada lisan mahupun tulisan. Hal ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai penggunaan bahasa yang gramatis dalam sektor kerajaan. Dengan mengimplimentasikan langkah ini, semua pegawai dan kakitangan kerajaanakan menggunakan bahasa yang betul setiap kali ingin menulis data, surat ataupun melakukan pembentangan. Perkara ini jika dibiasakan akan menjadi amalan, sesuai dengan peribahasa Melayu, Alah bisa tegal biasa”. Dengan cara ini, masalah pencemaran bahasa dapat diminimumkan.
Pencemaran bahasa yang sering kita lihat adalah di papan-papan tanda. Pihak kerajaan perlu mewajibkan penggunaan bahasa yang gramatis bagi papan-papan tanda. Hal ini perlu dipandang serius kerana bahasa menunjukkan bangsa. Jika pelancong asing datang ke negara kita, mereka akan terpengaruh oleh penggunaan-penggunaan bahasa yang salah, seterusnyamasalah pencemaran bahasa menjadi lebih serius. Oleh itu, papan-papan tanda yang ingin dibuat perlulah mendapat kelulusan bahasa daripada pakar-pakar bahasa Melayu. Dengan ini, isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat dibendung. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada merawat”.
Di samping itu, peranan ibu bapa juga penting dalam memperkasakan usaha mengatasi masalah pencemaran bahasa. Ibu bapa perlu membudayakan anak-anak mereka dengan budaya membaca sejak mereka kecil lagi. Hal ini mempengaruhi minat dan cara anak-anak menulis ayat dan bercakap. Dalam era dunia tanpa sempadan ini, anak-anak akan terdedah kepada pelbagai perkataan dan istilah yang kurang baik dan digunakan sebagai bahasa percakapan harian mereka. Hal ini langsung tidak mendatangkan maslahat kepada anak-anak, ibu bapa, mahupun negara malahan semakin memburukkan keadaan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang berbentuk ilmiah di rumah di samping menekankan aspek-aspek penggunaan bahasa dengan betul kepada anak-anak sejak kecil kerana hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak yang berkenaan perlu bekerjasama untuk menjalankan langkah yang pragmatik bagi menangani masalah pencemaran bahasa. Usaha yang berterusan dan efisien akan menyebabkan bahasa yang telah diangkat martabatnya sebagai bahasa kebangsaan ini semakin dihormati dan penggunaannya dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Jika tiada prakarsa daripada mana-mana pihak, maka pupuslah bahasa dan lenyaplah bangsa. Langkah untuk memprioritikan bahasa Melayu ini dilakukan agar generasi akan datang dapat merasakan keaslian dan ketulenan bahasa ibunda mereka yang selama ini diperjuangkan agar tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas.   

Oleh: Nurul Natasha Shaharuddin 6A2
SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Saturday, November 5, 2011

Analisis Soalan/Isu Karangan Percubaan STPM Negeri-negeri 2011


Negeri
Isu
Fokus Soalan









Kedah
1. Gejala penagihan semula dadah membimbangkan semua pihak.

Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini berlaku?.
2. Fenomena pemerdagangan manusia menimbulkan pelbagai masalah.


Jelaskan faktor-faktor dan bincangkan implikasinya kepada masyarakat dan negara.
3. Vandalisme selalunya dikaitkan dengan keruntuhan institusi kekeluargaan.

Sejauh manakah anda setuju dengan penyataan ini dan cadangkan langkah-langkah untuk menanganinya.
4. Lambakan produk tiruan di pasaran menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Sediakan memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan pengguna untuk menyatakan kekesalan dan langkah-langkah untuk mengatasinya.








Pahang
1. Kewujudan laman sosial seperti “facebook”, “twitter”, dan “blog”.

Bincangkan impak laman sosial ini kepada masyarakat dan negara.
2. Malaysia dikatakan mempunyai kekuatan untuk menjadi pusat pendidikan serantau.
Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat tersebut?
3. Pengambilan vitamin dan bahan minuman bertonik.

Jelaskan kebaikan pengambilan vitamin dan bahan minuman bertonik tersebut.
4. Stesen televisyen dan pengusaha pawagam cenderung menyiarkan drama dan filem yang berunsur mistik

Tulis memorandum untuk menyatakan kekesalan tentang kesan negatif yang timbul daripada rancangan tersebut dan kemukakan usul untuk menangani kesan negatif itu.







Terengganu
1. Masalah pengangguran dalam kalangan belia.

Jelaskan kesannya kepada masyarakat dan cadangan untuk menanganinya.
2. Kebanyakan pasar tani menjadi tumpuan.




Huraikan faktor-faktor yang mendorong orang ramai mengunjungi pasar tani dan jelaskan kemudahan yang perlu disediakan di pasar tani.
3. Kepentingan hubungan yang erat dalam kalangan ahli keluarga.



Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengeratkan dan mengekalkan hubungan kekeluargaan?
4. Kajian tetang kesan pertumbuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)
Sediakan satu laporan tentang kesan pertumbuhan IPTS kepada rakyat dan negara ini.









Selangor
1. Penyediaan dan penjualan makanan di kantin sekolah yang tidak sempurna dan tidak sihat meninggalkan pelbagai kesan negatif kepada murid-murid.
Sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru, sediakan memorandum untuk menyatakan permasalahan yang timbul dan kemukakan juga usul untuk menangani masalah ini.
2. Kemudahan yang disediakan dalam bidang sukan dapat meningkatkan prestasi atlet dan mutu sukan negara. 
Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?
3. Peranan pertubuhan belia dalam
merealisasikan wawasan untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020.
Sediakan teks syarahan anda.

4. Penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia.
Jelaskan implikasi penggunaan laman sosial ini  terhadap masyarakat.





Negeri Sembilan
1. Pencapaian negara dalam beberapa jenis sukan di peringkat antarabangsa belum mencapai tahap yang diharapkan.
Cadangkan langkah-langkah untuk meningkatkan mutu sukan negara.
2. Penggunaan laman web sosial semakin meluas.
Bincangkan kesannya terhadap golongan remaja.
3. Kewujudan restoran makanan segera banyak mehmpengaruhi corak hidup masyarakat.
Tulis laporan sebagai setiausaha Persatuan Pengguna.
4. Menggiatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakkan penyertaan pelabur asing.
Bincangkan usaha-usaha untuk menarik pelabur asing.






Sabah
1. Program 1Murid 1Sukan banyak mendatangkan manfaat kepada murid.
Huraikan manfaat tersebut.
2. Filem tempatan banyak yang bertemakan unsur mistik.
Bincangkan kesan pemaparan tema tersebut kepada penonton.
3. Internet dikatakan dapat memainkan peranan penting untuk mencorakkan kehidupan masyarakat di sesebuah negara.
Berikan pandangan anda tentang keepentingan internet kepada masyarakat dan negara.
4. IPTS dapat membantu negara meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan rakyatnya.
Pada pendapat anda, apakah aspek yang perlu diberikan oleh kerajaan terhadap pengendalian institusi tersebut. Bincangkan.







Perak
1. Pemerdagangan Orang ialah suatu jenayah kemanusiaan yang  dipandang serius pada masa ini.
Huraikan  usaha dan cabaran  untuk menanganinya.
2. Perniagaan pinjaman wang secara haram
Huraikan punca berlakunya fenomena ini dan bentuk pengawalan yang boleh dilaksanakan dalam usaha membanterasnya.
3. Terdapat  pelbagai laman sosial di internet yang dilayari oleh  masyarakat, khususnya     golongan  remaja.
Bincangkan kesan aktiviti tersebut.

4. Kenaikan harga barangan dan kos perkhidmatan  semakin membimbangkan masyarakat.
Sediakan memorandum untuk menyatakan kekesalan dan langkah-langkah untuk menangani permasalahan ini.

      Dengan berdasarkan isu atau topik yang disenaraikan di atas, topik yang paling popular ialah laman sosial. Hal ini demikian kerana, 3 buah negeri iaitu Pahang, Selangor, dan Perak telah memilih soalan tersebut. Di samping itu, isu-isu lain juga perlu diberikan tumpuan,  seperti isu pemerdagangan orang, filem atau drama berunsurkan mistik, kenaikan harga barang, lambakan barang tiruan, peranan internet, pelaburan asing, keracunan makanan, pengambilan pil vitamin, dan peranan institusi pengajian tinggi atau pusat pendidikan serantau. Namun demikian, isu-isu yang yang dianggap tidak hangat juga perlu diberikan perhatian kerana isu-isu itu merupakan isu yang berpanjangan atau berterusan.