Pengikut laman ini

Monday, March 28, 2011

Sajak Tingkatan 5 - Di Bawah Langit yang Sama

Maksud


Rangkap 1
Di bawah langit yang sama kita bernafas tanpa mengira tempat atau lokasinya sama ada di Beirut ataupun di Kuala Lumpur.

Rangkap 2
Penyajak menyukai gerimis di Kota London dan terpesona dengan angin dingin yang mencengkam tubuhnya di Washington yang di kelilingi oleh pepohon yang menghijau dan beraneka warna yang tiada bezanya.

Rangkap 3
Tidak kira sesiapapun yang menghuni Australia ataupun Afrika, semuanya sama kerana berada di bawah langit yang sama.

Rangkap 4
Penyajak ingin menyeberangi Laut Cina Selatan dan melayari lautan teduh yang merentasi laluan sutera yang berkongsi siang dan malamnya. Penyajak menyeru manusia agar memupuk perasaan cinta dan harapan yang sama dalam kalangan warga dunia kerana semuanya berada di bawah langit yang sama.

Rangkap 5
Peta-peta itu cuma memisahkan sempadan negara dan jangan ditutup pos sempadannya. Visa hanya merupakan keperluan rasmi buat seketika di samping dokumen penting seperti pasport. Kita masih mendakap mimpi yang sama untuk menggapai hasrat agar menghapuskan perasaan kebencian dan melupakan peristiwa silam yang buruk di bawah langit yang sama.

Tema
Hakikat persamaan antara manusia walaupun di mana sahaja mereka berada.

Persoalan
1. Persamaan dalam semua aspek kehidupan manusia tanpa mengira tempat.
2. Keamanan sejagat perlu disuarakan oleh semua warga dunia.
3. Lupakan persengketaan dan sejarah silam untuk mewujudkan kemanan.
4. Semua manusia sama sahaja di dunia ini

Gaya Bahasa
1. Personifikasi – Anyam cinta pelangikan zaman
2. Metafora – sejarah hitam
3. Pengulangan – Aku, Di bawah langit
4. Sinkof – Beirutmu, Kuala Lumpurku
5. Asonansi – Sesama kita – warga dunia
6. Aliterasi – Lebur kebencian kuburkan sejarah silam

Nada
Romantis

Nilai
1. Hormat-menghormati
2. Mematuhi peraturan
3. Kesaksamaan
4. Keamanan

Pengajaran
1. Kita haruslah memahami keadaan yang sama antara setiap warga dunia ini.
2. Semua manusia yang hidup di dunia ini memiliki persamaan dalam semua perkara tanpa mengira sempadan dan negaranya.
3. Kita hendaklah mewujudkan dan mengekalkan keamanan sejagat.
4. Kita perlulah melupakan peristiwa silam yang tidak baik.

Wednesday, March 16, 2011

Sinopsis Buku 2 Novel Interlok

Keluarga Cing Huat

1
Lee Kim Lock berasal dari negara China, iaitu di suatu desa di kawasan perlembahan gunung. Penduduk desa itu menanam padi untuk menyara hidup mereka. Walau bagaimanapun, mereka selalu berhadapan dengan masalah apabila padi mereka musnah akibat banjir dan padi mereka dimakan oleh belalang. Oleh itu, Kim Lock mengatakan bahawa mereka terpaksa pergi ke kota untuk mencari kerja. Mereka akan pergi ke Cangcow untuk memulakan kehidupan baharu. Namun begitu, hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana Paman Kok Leng menceritakan bahawa mereka boleh mendapat wang dengan mudah kalau pergi ke Rantau Selatan. Dia sudah memiliki lombong dan mengatakan mereka perlulah rajin berusaha untuk mengumpul kekayaan.

Akhirnya Kim Lock bersetuju untuk mengikut Paman Kok Leng dan mambawa anaknya Cing Huat bersama-sama dengannya. Isterinya pula akan tinggal bersama-sama dengan adiknya di desa itu. Paman Kok Leng mengenakan bayaran lima puluh ringgit untuk setiap orang dan Cing Huat dikenakan bayaran sebanyak dua puluh lima ringgit. Paman Kok Leng mendahulukan wangnya dan mereka terpaksa memberikan surat tanah kepadanya dan jika pinjaman wang itu tidak dilangsaikan dalam tempoh yang ditetapkan, tanah itu akan menjadi miliknya. Seramai sepuluh orang yang sudah memberikan persetujuan untuk mengikut Paman Kok Leng.

Mereka meneruskan perjalanan ke kota Cangcow dan seterusnya mereka akan menaiki kapal ke Amoy. Selepas itu mereka singgah di Pelabuhan Swatow dan menaiki sebuah kapal lain yang lebih besar di Pelabuhan Hong Kong. Semasa di dalam kapal itu, Kim Lock dan Cing Huat mengalami pelbagai pengalaman seperti tubuh mereka basah kuyup akibat terkena hujan dan Cing Huat muntah kerana mabuk laut. Mereka akan sampai ke negeri yang hendak dituju itu dalam masa lebih kurang tiga belas hari lagi. Pada petang hari yang ketiga belas, mereka tiba di Sin-cia-pu ataupun Singapura. Mereka memanggil orang di Singapura itu Huan Na.

Dua hari berada di Singapura Cing Huat mendapat kerja di sebuah kedai kopi. Bapanya pula masih belum mendapat kerja lagi dan akhirnya selepas hari keempat Kim Lock memulakan kerja dengan menarik lanca. Dia terpaksa membayar sewa sebanyak dua puluh sen sehari kepada tauke lanca itu.

2
Kim Lock dan Cing Huat sudah berada di Singapura selama tiga puluh bulan dan dia sudah melakukan beberapa jenis kerja seperti kuli mengangkat najis selain menarik lanca. Dia lebih suka akan kerja sebagai kuli mengangkat najis kerana gajinya tetap iaitu sebanyak sepuluh ringgit sebulan. Cing Huat pula bekerja di kedai runcit yang dimiliki oleh seorang penduduk desanya yang bernama Gim Thong.

Pada suatu hari, Kim Sui mengajaknya ke seberang dan Kim Lock mengatakan bahawa dia terpaksa membawa Cing Huat bersam-sama dengannya kerana anaknya itu masih kecil. Kim Lock, Cing Huat, dan Kim Sui menaiki tongkang untuk ke Ma-la-ca. Walau bagaimanapun, tongkang itu tidak pergi ke Melaka tetapi singgah di Bandar Maharani. Kemudian, seorang tauke lombong dari Lukut menawarkan kerja kepada Kim Lock dan tanpa berfikir panjang, dia menerima tawaran tersebut. Kim Lock bekerja selama hampir dua bulan di lombong itu tetapi setelah mengetahui Paman Kok Leng juga menjadi rakan kongsi tauke lombong itu, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja. Kim Lock dan Cing Huat seterusnya menaiki tongkang menuju ke utara. Setelah beberapa bulan lamanya Kim Lock tinggal di Pulau Pinang, dia bertemu semula dengan Kim Sui yang membuka kedai di Kubang Kerbau.

3
Kim Lock membeli sebuah kedai kepunyaan orang Melayu di pekan Simpang Empat. Dia memulakan perniagaannya dengan berjual beli ikan basah yang dibawa oleh nelayan setiap hari. Kemudian, dia menjaja barang-barang runcit di kampung-kampung dan Cing Huat juga diajarnya berniaga. Kim Lock dan Cing Huat rajin bekerja dari pagi hingga malam. Dalam jangka masa beberapa bulan sahaja, kedai mereka itu menjadi kedai runcit yang lengkap. Di samping itu, Kim Lock tidak lupa untuk menghantar wang ke desanya setiap bulan selepas memiliki kedai runcit itu. Hubungan antara Kim Lock dengan Kim Sui pula terus berjalan dengan baik dan Kim Lock berniat untuk mengahwinkan Cing Huat dengan anak perempuan tiri Kim Sui yang bernama Lim Tua Tao.

4
Kim Lock sudah berumur lebih empat puluh tahun dan dia sudah mempunyai wang yang banyak. Walau bagaimanapun hasratnya untuk membawa isterinya dari desa masih belum tercapai. Kim Lock telah diperkenalkan oleh Kim Sui dengan seorang perempuan Cina yang bernama Mei Hwa yang suka menghisap madat. Kim Lock juga sudah mula menghisap candu dan dia membeli udutan candu, lampu, dan candu untuk dibawa ke kedainya di Simpang Empat. Hal ini menyebabkan Cing Huat terkejut dan kecewa kerana tidak menyangkakan ayahnya yang anticandu itu sudah menjadi tahi candu pula. Tubuh Kim Lock yang tegap dan berisi sudah menjadi semakin kurus dan dia tidak menghiraukan urusan kedainya lagi. Cing Huat meminta bantuan Kim Sui untuk menasihati bapanya supaya berhenti daripada menghisap candu. Akan tetapi, Kim Sui mengatakan orang yang ketagih candu memang tiada ubatnya. Selepas itu, Kim Lock membawa Mei Hwa tinggal bersama-sama dengannya di Simpang Empat.

Cing Huat pula mendapat berita tentang kematian ibunya di desa dua bulan lepas melalui surat yang dibaca oleh Ah Kun. Bapanya tidak menghiraukan berita kematian isterinya itu malahan memarahi Cing Huat pula kerana dia sedang menghisap candu. Cing Huat terkejut dengan perubahan yang ditunjukkan oleh Mei Hwa pada pagi esoknya dan dia membuat persiapan untuk memberikan persembahan kepada ibunya itu. Kim Lock tidak mahu memakai toha tetapi Cing Huat dan Mei Hwa memakai baju berkain hitam. Cing Huat kemudiannya berkahwin dengan Tua Tao dan majlis perkahwinan itu diadakan mengikut adat resam orang Cina. Selepas sebulan perkahwinan mereka, ayah Cing Huat meninggal dunia dan tidak lama selepas itu, Tua Tao pula menemui Mei Hua yang sudah meninggal dunia di dalam tandas di belakang kedai mereka.

5
Orang-orang Cina bermesyuarat untuk mendirikan sekolah mereka sendiri dan Cing Huat mendermakan wangnya sebanyak lima ratus ringgit. Setelah sekolah Cina itu siap, tiga orang anak Cing Huat menjadi murid yang pertama di sekolah itu. Cing Huat berasa gembira kerana anak-anaknya sudah tahu menulis dan membaca walaupun dia tidak bersekolah. Dia mahu anak-anak dan cucunya nanti mengamalkan budaya nenek moyangnya dan dia menggalakkan mereka menggunakan barang-barang dari negara China. Pada masa itu pula peperangan sudah tercetus, dan orang-orang Jepun menyerang daratan negara China dan menakluki beberapa buah kota besar di sana. Perkara ini menyebabkan cita-citanya untuk pulang ke negara asalnya tidak menjadi kenyataan. Cing Huat mahu anak-anaknya menjadi orang yang pandai dan dia tidak suka akan anaknya, Yew Seng yang suka berkawan dengan anak-anak orang Melayu kerana dia bimbang kalau anaknya itu juga akan menjadi malas seperti mereka.

6
Pada suatu hari Cing Huat memarahi Yew Seng kerana dia masih berkawan dengan anak-anak Melayu. Cing Huat mengatakan bahawa dia tidak suka anak-anaknya mengikut anak-anak Melayu itu kerana mereka malas dan tidak tahu mencari wang. Dia berasa puas hati dengan perniagaannya yang semakin maju dan kedainya bertambah besar berbanding dengan kedai-kedai lain. Dia menjual pelbagai jenis barang seperti perkakas dapur, perkakas rumah, perkakas pertanian, ikan basah dan sayur-sayuran. Cing Huat berasa gembira apabila melihat Yew Seng sudah berubah pada hari itu kerana dia sudah rajin membaca buku. Poh Eng pula rajin membantu ibunya mencuci pinggan mangkuk di samping mengambil air bersih dari paip di tepi jalan.

7
Poh Eng merupakan anak yang rajin bekerja, iaitu selepas menolong ibunya, dia mengambil sulamannya dan menyulamnya dengan tekun. Sementara itu, Yew Seng pula teringat akan hubungannya dengan orang-orang Melayu lebih erat, terutamanya dengan Lazim. Sebagai buktinya, dia berasa seperti dirinya yang dipukul sama kalau Lazim dipukul orang dan dia sanggup berkorban untuk membela Lazim jika keadaan memaksanya. Pada masa itu juga, Seman datang ke kedai Cing Huat dan menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana terpaksa keluar dari rumahnya itu.

Cing Huat sebenarnya sudah melantik Pak Cin menggantikan tempat Pak Musa sebagai orang tengahnya. Kadir, anak Pak Cin itu pula akan disuruh tinggal di rumah yang akan ditinggalkan oleh Seman. Pada malam itu Cing Huat memarahi anaknya, Yew Seng kerana anaknya itu mengatakan bahawa dia telah bertindak dengan kejam terhadap Seman. Yew Seng menjelaskan bahawa bapa Seman sudah banyak berjasa kepada bapanya itu. Oleh itu, bapanya itu perlu berperikemanusiaan sedikit terhadap Seman. Perkara itu menyebabkan Cing Huat semakin marah dan menampar muka anaknya itu dengan sekuat-kuat hatinya. Kemudian, isterinya turun dari loteng dan bertindak untuk meleraikan suaminya itu. Cing Huat seterusnya bertindak menghalau Yew Seng dari rumahnya itu. Kemudian, isterinya memujuk Yew Seng dan mengajaknya tidur di atas loteng. Cing Huat memarahi anaknya itu kerana Yew Seng menyebelahi orang Melayu dan dia mahu Yew Seng meninggalkan rumahnya itu pada esok harinya juga.



Friday, March 4, 2011

Esei Tingkatan 6 - Isu Pemanasan Global

Esei ini telah disediakan oleh saudari Munirah bt. Ali Mohamed daripada Kelas 6 Atas 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.


Punca-Punca Pemanasan Global

Kita sering melihat kesan pencemaran alam yang semakin banyak berlaku pada masa ini. Keadaan ini tidak sama jika dibandingkan dengan suatu masa dahulu iaitu udara yang lebih nyaman dan keadaan cuaca yang tidak terlalu panas. Perkara ini membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan selesa. Walau bagaimanapun, keadaan bumi pada masa ini sudah menjadi lebih panas dan memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia serta alam sekitar. Hal ini dapat diibaratkan seperti manusia pada masa ini hidup seperti di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlu mengetahui punca-punca yang menyebabkan pemanasan global ini berlaku agar dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya.

     Terdapat banyak punca yang menyebabkan pemanasan global, antaranya perkara itu disebabkan oleh aktiviti manusia yang melakukan pembakaran secara terbuka. Hal ini dikatakan demikian kerana ada anggota masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan orang lain. Sebagai contohnya, pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut melakukan aktiviti pembakaran terbuka semasa melakukan penerokaan hutan dan pertanian pindah. Di samping itu, ada pula yang membakar kawasan yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk dijadikan sebagai baja organik dan mereka membuka pula kawasan pertanian baharu di kawasan lain untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih banyak. Namun begitu, secara tidak langsung pembakaran tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di udara dan akhirnya menyebabkan suhu semakin panas.

     Selain itu, faktor lain yang menyebabkan berlakunya pemanasan global ialah pembebasan gas yang berbahaya secara tidak terkawal daripada kenderaan. Hal ini dikatakan demikian kerana bilangan kenderaan bermotor semakin meningkat saban tahun. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Amerika Syarikat telah disenaraikan sebagai pengeluar gas karbon dioksida terbesar dunia dengan jumlah 60005 tan. Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera merupakan penyebab utama pemanasan global yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil, penggunaan minyak petrol dan pembakaran arang batu. Perkara ini membuktikan bahawa pemanasan global berpunca daripada pelepasan asap daripada kenderaan bermotor.

      Di samping itu, pembebasan gas klorofluorokarbon ke udara juga menyebabkan penipisan lapisan ozon berlaku. Perkara ini seterusnya menyebabkan gejala pemanasan global semakin serius berlaku dewasa ini. Gas tersebut digunakan dengan meluas di dalam alat pendingin hawa, peti sejuk, dan alat penyembur racun nyamuk serta lipas. Seterusnya perkara itu menyebabkan pancaran cahaya matahari secara terus ke bumi berlaku dan suhu bumi menjadi semakin panas. Tambahan pula, sinar ultraungu daripada cahaya matahari yang tidak ditapis oleh lapisan ozon akan menyebabkan penyakit kanser kulit. Jelaslah bahawa pembebasan gas yang berbahaya tersebut menjadi salah satu sebab pemanasan global berlaku pada masa ini.   

     Perkembangan perindustrian yang semakin pesat turut menjadi faktor pemanasan global. Hal ini dikatakan demikian kerana kegiatan perindustrian yang pesat menyebabkan kilang-kilang membebaskan gas berbahaya seperti sulfur dioksida dan karbon monoksida. Perkara itu menyebabkan pencemaran udara dan seterusnya memanaskan suhu bumi. Para saintis di Amerika Syarikat telah membuat ramalan bahawa peningkatan suhu bumi akan berlaku sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun 2030. Oleh itu, fenomena ini tentunya merburukkan keadaan lagi dan menyebabkan suhu bumi semakin panas. Jadi, pelepasan gas berbahaya daripada kilang menjadi satu daripada faktor pemanasan global berlaku.

     Faktor pembinaan bangunan pencakar langit dan bangunan yang berdinding cermin yang semakin banyak turut menjadi penyebab kepada pemanasan global. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah itu juga sebenarnya memberikan impak negatif kepada muka bumi kita ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pantulan cahaya daripada matahari terhadap cermin bangunan boleh menyebabkan haba terperap di kawasan atmosfera. Jadi, kesan haba tersebut menyebabkan suhu bumi semakin panas dan menyebabkan kesan negatif kepada semua hidupan di bumi. Jelaslah bahawa proses pembandaran dan pembangunan yang pesat merupakan faktor berlakunya pemanasan global.

     Kesimpulannya, banyak perkara yang menyebabkan tercetusnya gejala pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, setiap individu dan insan di dunia ini perlu mengamalkan semangat cinta akan alam sekitar agar bumi yang sedang tercemar ini dapat dipulihkan semula.  Pihak kerajaan pula perlulah lebih peka terhadap masalah global yang semakin serius ini dan perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat lebih prihatin terhadap alam sekitar. Mahatma Gandhi pernah berkata, “kita tidak mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita, tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”. Jadi, kita berharap agar fenomena pemanasan global yang sedang melanda dunia pada masa ini akan dapat ditangani segera agar keselamatan dan kesejahteraan hidup makhluk di dunia ini akan berkekalan.

Oleh Munirah bt. Ali Mohamed (6A2)