Pengikut laman ini

Monday, February 28, 2011

Nilai Murni dalam Kembara Amira

1. Tolong-menolong - sebagai contohnya, Itai menolong Amira dengan menyelamatkannya daripada lemas di sungai. Jacinta pula membawakan Amira makanan untuk makan malam ke khemahnya.

2. Kerjasama - contohnya Itai dan Ludin memberikan kerjasama dalam gerakan atau usaha untuk mencari Malique yang hilang.

3. Hormat-menghormati - contohnya Amira menghormati emaknya dan juga orang lain seperti Dr. Zawawi, Itai dan Ludin dan tidak pernah meninggikan suara atau bersikap kurang sopan kepada mereka.

4. Kegigihan - contohnya Amira gigih berusaha untuk mencari Malique yang hilang dengan bantuan Itai. Pelajar-pelajar Profesor Zaidah pula gigih berusaha untuk mencari gali artifak di tapak kerja lapangan itu walaupun diganggu oleh pelbagai bunyi pada waktu malam.

5. Kasih sayang - contohnya ibu Amira amat menyayanginya dan ada masa untuknya walaupun dia sibuk dengan tugasnya. Jennifer pula sayang akan anaknya iaitu Malique dan sanggup datang ke hutan itu untuk mengikuti perkembangan dan keadaannya setelah mendapat berita bahawa anaknya itu hilang di dalam hutan..

6. Kesabaran dan ketekunan - contohnya pelajar-pelajar Profesor Zaidah bersabar dan tekun menjalankan kerja lapangan di tapak ekskavasi atau kerja lapangan walaupun menghadapi pelbagai masalah dan rintangan.

7. Taat akan agama – selepas menunaikan solat subuh, semua pelajar masih tidur kerana keletihan. Amira mengqada solat Subuh apabila sampai di Stesen Dahan Hijau kerana tidak sempat menunaikannya semasa di dalam kereta api.

8. Belas kasihan – Pak Lias kasihan kepada Amira iaitu apabila Profesor Zaidah seolah-olah tidak mempedulikan anak tunggalnya itu.

9. Sayang akan alam sekitar - Tau dan Malique tidak suka akan orang yang merosakkan dan memusnahkan hutan dan binatang yang terdapat di dalam hutan itu.

10. Keikhlasan - Ludin merawat tangan Profesor Zaidah yang terseliuh dengan menggunakan kaedah perubatan tradisional setiap hari dengan ikhlas.

11. Mengakui kesilapan - Profesor Zaidah mengakui kesilapannya iaitu pada mulanya dia kurang yakin dengan rawatan yang hendak diberikan oleh Ludin tetapi cara rawatan yang diberikan oleh Ludin benar-benar berkesan. Beliau juga mengakui kesilapannya yang mengabaikan Amira hingga dia hampir mati lemas di sungai kerana terlalu mementingkan kerjanya.

 

Saturday, February 19, 2011

Karangan Tingkatan 6 - Isu Penganjuran Sukan Peringkat Antarabangsa

Karangan ini telah disediakan oleh saudari Nurul Natasha Shaharuddin daripada Kelas 6 Atas 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi.

Soalan Contoh

Malaysia telah membuktikan kemampuannya untuk menganjurkan sukan pada peringkat antarabangsa dengan jayanya.
Huraikan kesan positif penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa kepada negara kita.

Rangka Karangan
Pendahuluan
- Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat - menaikkan nama Malaysia di persada dunia

Isi-isi
i.   kedatangan pelancong asing semakin meningkat
ii.  mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia
iii. dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama
iv. wadah untuk perpaduan
v.  meningkatkan mutu sukan negara

Penutup
- penganjuran sukan di peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif

Karangan Contoh

       Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat seluruh warga dunia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sukan juga merupakan suatu instrumen untuk menaikkan nama Malaysia di persada dunia. Negara kita sendiri telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Grand Prix Formula One, Le Tour de Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya. Kejayaan penganjuran kejohanan-kejohanan tersebut telah memberikan imej yang positif kepada negara kita pada peringkat antarabangsa. Hal ini telah membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Kejayaan ini telah mendatangkan kesan positif terhadap Malaysia daripada pelbagai aspek.

       Kesan positif yang paling ketara dapat kita lihat ialah kedatangan pelancong asing semakin meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf dunia, industri pelancongan sukan di negara kita akan mengalami kemajuan. Hal ini sekali gus mampu menjana ekonomi negara dari segi tukaran mata wang asing. Sebagai contohnya, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan secara tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi telah berjaya menarik banyak pelancong asing, bak kata pepatah, “Di mana ada gula, di situ ada semut”. Para pelancong berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk menonton pertandingan sukan ini secara langsung. Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mapan. Oleh itu, penganjuran sukan antarabangsa perlu diteruskan kerana banyak memberikan manfaat kepada ekonomi negara kita.

       Kejohanan sukan yang berprestij pastinya akan mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia. Bagi mereka yang tidak dapat menyaksikan kejohanan sukan yang dipertandingkan secara langsung, mereka boleh menyaksikannya melalui media massa seperti televisyen dan radio. Banyak siaran langsung dibuat oleh negara-negara yang mengambil bahagian untuk melaporkan perkembangan kejohanan itu kepada penduduk di negara masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari seluruh dunia dapat menyaksikan kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara tidak langsung, orang yang tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya melalui liputan-liputan yang disampaikan. Perkara ini akan meningkatkan imej Malaysia ke seluruh dunia.

       Selain itu, melalui penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat dengan adanya penglibatan dalam bidang sukan. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia dan Eropah bagi memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat kelebihan daripada pelbagai aspek.

       Di samping itu, kita sentiasa mendengar bahawa sukan merupakan wadah untuk perpaduan. Melalui penganjuran sukan antarabangsa, kita dapat mengeratkan perpaduan sejagat antara masyarakat dari seluruh dunia. Sebarang pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan dapat dilupakan dan mereka dapat menerima kekalahan dengan semangat kesukanan. Sebagai contohnya, semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu ketika Dato’ Lee Chong Wei menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat akhir, mereka masih boleh bergurau antara satu sama lain dan berpelukan sebagai tanda persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui penganjuran sukan juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu memecahkan tembok perbezaan kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan dijulang sebagai juara perpaduan kerana sikap kerjasama dan toleransi bagai aur dengan tebing.

       Selain agen perpaduan, penganjuran sukan peringkat antarabangsa ini juga akan meningkatkan mutu sukan negara kita. Hal ini demikian kerana, ahli sukan di negara kita dapat menyaksikan kehebatan ahli sukan dari seluruh dunia bertanding di negara kita. Bagi ahli sukan negara sendiri yang bertanding dalam sesuatu acara itu, sudah pasti mreka akan mendapat suntikan semangat yang lebih daripada penyokong-penyokong tempatan. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih bersemangat untuk bertanding. Selain itu, mereka akan membuat persediaan yang lebih rapi dan membiasakan diri dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk membuktikan bahawa kejayaan akan menjadi milik negara kita sendiri di samping slogan Malaysia Boleh.

       Konklusinya, penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif terhadap perkembangan Malaysia. Di samping itu, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi mengangkat martabat Malaysia di pentas antarabangsa. Pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap agar negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, penganjuran sukan juga mampu menjana ekonomi negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh diibaratkan seperti “serampang dua mata”. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa akan menjadi kenyataan.

Oleh Nurul Natasha Shahduddin, 6A2. 

Tuesday, February 15, 2011

Isu Karangan STPM 2002 - 2010

Pelbagai isu karangan telah dikemukakan dalam Kertas Bahasa Malaysia STPM dari tahun 2002 hingga 2010. Oleh itu, calon-calon STPM 2011 hendaklah meneliti isu yang telah dikemukakan itu seperti yang dipaparkan di bawah. Kajilah isu-isu karangan itu untuk membuat jangkaan isu yang mungkin dikemukakan pada tahun ini.

Isu-isu dalam Soalan Karangan

2002
1. Institusi kekeluargaan
2. Pasar raya
3. Minat membaca
4. Bekalan air

2003
1. Pencemaran sungai
2. Pasaran buku ilmiah
3. Kegiatan cetak rompak
4. Sistem pengangkutan awam

2004
1. Perpaduan dalam kalangan penduduk
2. Penggunaan racun serangga
3. Kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran
4. Budaya sains dan teknologi

2005
1. Aktiviti sukan
2. Pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini
3. Kegawatan ekonomi
4. Tenaga buruh kanak-kanak di negara dunia ketiga

2006
1. Kitar semula
2. Siswazah kurang berminat dalam bidang pertanian
3. Program bersifat realiti
4. Golongan belia kurang berminat dalam bidang keusahawanan

2007
1. Patriotisme dalam kalangan rakyat
2. Gejala obesiti atau kegemukan
3. Kegiatan seni budaya tradisional
4. Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu

2008
1. Telefon bimbit
2. Gejala rasuah
3. Hak Pengguna
4. Rancangan televisyen

2009
1. Industri desa
2. Muzik
3. Penguasaan lebih daripada satu bahasa.
4. Perpaduan kaum

2010
1. Pembakaran secara terbuka
2. Ilmu seni pertahanan diri
3. Penglibatan remaja dalam kumpulan samseng
4. Industri pelancongan

Isu yang Dicadangkan Pada Tahun 2011
Isu yang disenaraikan di bawah belum pernah dikemukakan lagi dalam peperiksaan STPM dari tahun 2002 hinggalah tahun 2010. Oleh itu, isu yang disenaraikan di bawah ini bolehlah dijadikan latihan untuk menulis karangan. Dengan berdasarkan analisis isu tersebut, terdapat juga isu yang dikemukakan sebanyak dua kali iaitu perpaduan kaum. Selain isu yang dicadangkan di bawah, cubalah isu-isu lain yang boleh dibincangkan dengan guru dan rakan.

1. Pemanasan Global
2. Penganjuran Sukan Peringkat Antarabangsa
3. Bangunan atau Tempat Bersejarah
4. Bencana Alam
5. Kecemerlangan Pendidikan/Sekolah Berprestasi Tinggi
6. Perniagaan Internet
7. Jenayah Ragut
8. Penggunaan Kad Kredit
9. Masalah Perumahan
10. Penyakit kanser
11. Gejala Pembuangan Bayi
12. Masalah Keracunan Makanan
13. Pelaburan Asing
14. Pengangkutan Awam
15. Perubatan Alternatif
16. Kes Penculikan Kanak-kanak
17. Adat Resam
18. Orang Gaji Asing/Pendatang Asing
19. Pertanian Moden
20. Kebanjiran Drama Bersiri Asing/Filem Asing

Sunday, February 6, 2011

Latar Masyarakat Novel Kembara Amira

1. Masyarakat pelajar - Amira, Jacinta dan Itai merupakan pelajar sekolah yang sedang bercuti.

2. Masyarakat yang mementingkan persahabatan - Amira dan Jacinta bersahabat baik dan menjaga nilai-nilai persahabatan serta saling menghormati dan tidak pernah bersengketa dalam sebarang perkara. Amira dan Itai sanggup mencari ketulan emas untuk dihadiahkan kepada Jacinta walaupun tindakan itu membahayakan diri mereka sendiri.

3. Masyarakat yang sayang akan alam sekitar - Tau tidak suka akan orang yang merosakkan dan memusnahkan hutan dan binatang yang terdapat di dalam hutan. Malique juga tidak mahu hutan itu dirosakkan atau dimusnahkan.

4. Masyarakat orang Asli - Ludin, Tau dan Itai merupakan orang Asli yang tinggal di kawasan Bukit Mat Raya.

5. Masyarakat yang gigih berusaha - Profesor Zaidah, Dr. Zawawi dan pelajar-pelajarnya gigih berusaha untuk mencari gali artifak di tapak kerja lapangan.

6. Masyarakat yang suka menolong orang - Itai menyelamatkan Amira daripada mati lemas dan Tau pula menyelamatkan Jacinta.

7. Masyarakat yang mementingkan muafakat - Masyarakat kampung berbincang untuk membuat keputusan dalam menghadapi sebarang permasalahan seperti peristiwa Itai yang membawa Amira ke sungai yang ada ketulan emas.

8. Masyarakat yang berani - Amira dan Itai berani untuk pergi ke gua Gajah untuk menyelamatkan Malique. Mereka juga berani berhadapan dengan makhluk berbulu yang mengurung Malique.

9. Masyarakat yang kuat semangat - Amira kuat semangat ketika cuba melawan arus dan tangannya cuba memeluk batu-batu yang terdapat di sepanjang sungai tetapi gagal kerana batu-batu itu licin.

10. Masyarakat yang penyayang - Profesor Zaidah merupakan ibu yang penyayang kerana walaupun sibuk, dia masih mengambil berat keselamatan Amira. Begitu juga dengan Tau yang sangat sayang akan anaknya iaitu Malique atau Sabi.

11. Masyarakat yang ikhlas - Pak Lias ikhlas menegur Profesor Zaidah tentang Amira yang seolah-olah diabaikannya. Amira pula memberikan ketulan emas itu kepada Ludin setelah diminta oleh Ludin kerana dia ikhlas dan tiada tujuan lain, selain hendak memberikan ketulan emas tersebut kepada Jacinta sebagai hadiah.

12. Masyarakat yang patuh akan arahan - Pak Lias menghormati dan taat akan arahan Profesor Zaidah serta menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh ketuanya itu. Dr. Zawawi juga patuh akan arahan yang diberikan oleh Profesor Zaidah.

13. Masyarakat yang menghormati orang lain - Itai menghormati orang yang lebih tua daripadanya, contohnya dia menghormati Ludin dan Tau dan tidak membantah cakap mereka.

14. Masyarakat yang mahir dalam perubatan tradisional - Ludin berkemahiran untuk merawat Profesor Zaidah yang terseliuh tangannya hingga sembuh dengan menggunakan perubatan tradisional iaitu daripada buluh, daun kayu dan ramuan daripada akar kayu.

15. Masyarakat yang mengakui kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan - Profesor Zaidah mengakui kesilapannya yang mengutamakan kerjanya dan mengabaikan Amira terutamanya selepas dia hampir mati lemas di sungai.


Wednesday, February 2, 2011

Latar Masyarakat Novel Interlok

1. Masyarakat yang bersatu padu - Yew Seng, Seman, Gayah, Raman, dan orang kampung yang lain bersatu hati dan berpakat untuk pergi ke Kuala Lumpur dengan menyewa bas bagi menyaksikan perayaan kemerdekaan negara di sana selama beberapa hari.

2. Masyarakat yang mengamalkan nilai tolong-menolong - Poh Eng menolong Maniam yang telah memberikan perlindungan kepadanya dengan menembak Suppiah yang hendak membunuh Maniam.

3. Masyarakat yang hormat-menghormati - Seman menghormati emak dan ayahnya dan menurut kata mereka. Dia juga menghormati Lebai Man yang mengajarnya mengaji al-Quran.

4. Masyarakat yang rajin bekerja - Kim Lock rajin bekerja dari siang hingga malam dan akhirnya dia berjaya dalam perniagaan dan kedainya lebih besar daripada kedai-kedai yang lain.

5. Masyarakat yang penyayang - Mak Limah sayang akan anak tunggalnya, Seman dan begitu sebaliknya Seman juga menyayangi emaknya dengan menyembunyikan emaknya di rumah kogsi di ladang tempatnya bekerja dahulu ketika tentera Jepun datang ke kampung mereka.

6. Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan - Maniam tabah menghadapi dugaan iaitu apabila dia disuruh meninggalkan isterinya oleh bapa mentuanya sendiri.

7. Masyarakat yang mengenang budi - Poh Eng mengenang budi Mak Limah yang memberikan perlindungan kepadanya dan menganggapnya seperti ibunya sendiri. Seman juga mengenang budi Maniam dan dia menganggap Maniam seperti ayahnya sendiri.

8. Masyarakat yang percaya akan dukun - Mak Limah menyuruh Seman memanggil dukun yang bernama Pak Utih untuk mengubati suaminya, Pak Musa yang sakit.

9. Masyarakat yang gigih berusaha - Maniam gigih bekerja hingga dia dilantik sebagai tandil di ladang tempatnya bekerja.

10. Masyarakat yang kuat semangat - Kim Sui kuat semangat untuk berusaha dan menjadi peniaga yang berjaya.

11. Masyarakat yang berpegang kuat pada adat resam - Kim Sui berpegang kuat pada adat resamnya dengan menjalankan upacara perkahwinan anaknya Cing Huat dengan Tua Tao mengikut adat resam nenek moyangnya.

12. Masyarakat pelbagai kaum - Masyarakat Melayu membeli barang dan berhutang dengan Cing Huat. Yew Seng pula bermain dan berkawan dengan budak-budak Melayu seperti Lazim.

13. Masyarakat yang mengakui kesilapan - Yew Seng dan Poh Eng mengakui kesilapan mereka dan menyedari bahawa perjuangan mereka selama ini sia-sia dan mereka bertindak dengan meninggalkan perjuangan sia-sia tersebut.

14. Masyarakat yang patuh akan ajaran agama - Masyarakat di Kampung Nyiur Condong menunaikan solat berjemaah, buktinya Seman tiba di surau untuk bertemu dengan Mamat Labu pada suatu malam selepas semua jemaah habis menunaikan sembahyang Isyak.

15. Masyarakat Cina yang menjalankan perniagaan - Kim Lock memulakan perniagaan dengan berniaga ikan basah yang dibawa oleh nelayan setiap hari, kemudian dia membawa barang dari kedai runcit dan menjajanya di kampung-kampung. Cing Huat juga menjalankan perniagaan runcit yang diwarisinya daripada bapanya di pekan Simpang Empat.

16. Masyarakat Melayu yang mengusahakan sawah - Seman mengusahakan sawah bapa mentuanya dengan gigih. Selepas menuai padi, dia menanam sayur-sayuran, kacang dan sebagainya.

17. Masyarakat India yang bekerja di kebun getah dan kelapa - Perumal, Malini, Maniam, Suppiah, Mariama bekerja di kebun kelapa di Cangkat Lima. Kemudian Maniam bekerja di kebun getah Cangkat Janggus.

18. Masyarakat yang hormat dan taat kepada suami - Malini hormat dan taat kepada suaminya Maniam dan melayannya dengan baik serta tidak membenarkan suaminya itu memasak nasi kerana kerja itu menjadi tanggungjawabnya.

19. Masyarakat yang berani - Kadir, anak Pak Cin sudah berani melawan cakap bapanya yang masih mahu menjadi orang tengah Cing Huat. Akhirnya Pak Cin juga sedar dan berani berdepan dengan Cing Huat lalu mengenakan syarat tentang pemilikan tanah itu hingga menyebabkannya dihalau oleh Cing Huat.