Pages

Wednesday, September 28, 2011

Esei STPM (Isu Laman Sosial)

Soalan Esei Percubaan STPM Negeri Selangor 2011

Pada masa ini,  penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. 
     Jelaskan implikasi penggunaan laman sosial ini  terhadap masyarakat.

Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya yang mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia.
     Penggunaan laman sosial seperti “Facebook” yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan seerta mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan berintegriti.
            Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas (sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
            Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang leka dan lalai. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan pembangunan negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran daripada penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga kerja yang kurang berkualiti.
          Kesan penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur pornografi dari Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah didapati di laman sesawang menerusi kemudahan internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman sosial tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana laman sosial seperti “Facebook” dan “My Space” diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya Barat seperti “Black Metal”, “Punk”, “Gothic”, dan “Skin Head” akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat.
Penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran daripada kemunculan bahasa slanga dan juga bahasa rojak. Penggunaan bahasa slangan dan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia kerana penggunaanya semakin meluas. Penularan bahasa rojak ini akan menghakis keaslian dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan laman sosial boleh mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti "Ditelan mati emak, diluah mati bapak".
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana "mencegah lebih baik daripada mengubati". Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi rakyat yang mempunyai minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian demi keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia.

Oleh; Raja Muhammad Hanafi b. Raja Iskandar
6A1 SMKBBST  
  

Sunday, September 4, 2011

Esei STPM - Isu Pembuangan Bayi

Soalan Esei : Kes pembuangan bayi yang semakin meningkat pada masa ini amat membimbangkan masyarakat di negara kita.
    
Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini.

      Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap kali isu ini dapat kita baca daripada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa.

         Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas.

           Ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun mereka sibuk bekerja. Hal ini dikatakan demikian kerana perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas.

          Ibu bapa boleh menghantar anak-anak ke kem-kem kesedaran ataupun seminar jati diri juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kem-kem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada mengubati”.

            Nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata pepatah, Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain”, begitu jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan terlibat dalam kancah maksiat.

            Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anak-anak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi.

            Kesimpulannya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Oleh: Nurul Natasha Shaharuddin 6A2