Pengikut laman ini

Thursday, September 30, 2010

Fokus Karangan SPM 2010 – Penyakit Berbahaya

Isu lain yang perlu difokuskan dalam karangan SPM 2010 nanti ialah penyakit berbahaya.

Soalan ini terdapat dalam Karangan Respons Terbuka Peperiksaan Percubaan SPM 2010 negeri Johor iaitu Soalan 4 (Dimensi antarabangsa).

Penularan penyakit berbahaya seperti H1N1, Demam Denggi dan AIDS telah mendatangkan kesan negatif kepada kehidupan manusia sejagat.
    Bincangkan tindakan yang perlu dilakukan oleh negara-negara terlibat untuk menangani penularan penyakit-penyakit berbahaya.

Selain itu, soalan negeri Pahang turut menyentuh isu yang sama iaitu wabak penyakit berbahaya dalam Soalan 4.

Wabak ILI dan H1N1 merupakan penyakit berjangkit yang menular di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini. Wabak ini telah menimbulkan pelbagai kesan terhadap kesihatan penduduk dan ekonomi sesebuah negara.

     Jelaskan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengatasi penularan tersebut.

Soalan SBP dan Sekolah Kluster juga menyentuh isu yang sama iaitu dalam Soalan 4.

Belakangan ini, penyakit yang berbahaya sangat cepat merebak dari satu negara ke satu negara yang lain.
     Jelaskan cara-cara untuk mengawal penularan wabak tersebut secara global.


Soalan negeri Sabah turut menyentuh isu yang sama, cuma nombor soalan soalannya sahaja yang berbeza iaitu nombor 3 (Dimensi masyarakat atau negara). Selain itu, penyakit berbahaya itu pula difokuskan kepada amalan corak hidup yang tidak sihat, dan tidak semestinya penyakit berbahaya yang berjangkit sahaja seperti soalan negeri Johor, Pahang, dan SBP & Sekolah Kluster.

Penyakit berbahaya semakin mengancam kesihatan rakyat Malaysia akibat amalan dan corak hidup yang tidak sihat.
     Huraikan langkah-langkah untuk menangani masalah ini.


Di bawah ini saya paparkan soalan dan karangan contoh yang membincangkan isu yang hampir sama dan fokus soalannya juga hampir sama dengan soalan tersebut untuk rujukan bersama.

Soalan Contoh

Negara kita turut menerima tempias akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia baru-baru ini.
     Jelaskan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara kita dan negara-negara yang terlibat.

Rangka Karangan


Pendahuluan
- Wabak penyakit berjangkit di negara ini terkawal - kerajaan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit.

Isi-isi Penting
i.   Pesakit-pesakit dikuarantin daripada orang awam supaya tidak berjangkit.
ii.  Elakkan melancong atau berkunjung ke negara-negara yang dilanda oleh penyakit tersebut.
iii. Gunakan mesin pengimbas - sekat kemasukan pelancong asing dari negara yang terlibat memasuki negara Malaysia.
iv. Penyediaan ubat-ubatan seperti vaksin untuk ketahanan tubuh badan melawan penyakit.
v. Memusnahkan punca penyakit yang berpunca daripada unggas (ayam, burung dan lain-lain).

Penutup
- Kerajaan dan rakyat perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling – aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlu diutamakan - meyakinkan pelancong asing.

Karangan Contoh

     Industri pelancongan negara terjejas sedikit akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia baru-baru ini. Namun demikian, wabak penyakit itu berjaya dikawal dan tidak memberikan kesan yang serius terhadap industri pelancongan dan kesihatan rakyat negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk menangani penyakit tersebut. Berdasarkan langkah mencegah lebih baik daripada mengubati, penyakit tersebut tidak merebak kepada rakyat negara kita. Namun begitu, rakyat negara ini perlu berwaspada dan berasa bimbang akan wabak yang menular di seluruh dunia itu. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah tersebut.

     Negara kita dan negara-negara yang terlibat sepatutnya mengambil langkah seperti mengasingkan pesakit yang menghidap wabak tersebut. Dengan perkataan lain, pesakit perlu dikuarantin dan diasingkan daripada orang awam agar penyakit tersebut tidak merebak kepada orang lain iaitu sebelum nasi menjadi bubur. Jika tindakan ini diambil sudah pasti penyakit ini dapat dikawal dan tidak akan disebarkan kepada orang lain dan juga ke negara-negara lain. Seterusnya, keadaan ini bukan sahaja tidak akan memudaratkan kesihatan manusia malahan industri pelancongan juga tidak terjejas.

     Langkah lain yang perlu dijalankan ialah anggota masyarakat hendaklah mengelakkan diri daripada melancong ke negara-negara yang terlibat. Rakyat negara kita atau negara lain perlu membatalkan rancangan buat sementara waktu untuk pergi melancong ke negara-negara yang sedang dilanda wabak itu seperti negara China, Hong Kong, dan Indonesia. Langkah yang dikatakan sebagai menyediakan payung sebelum hujan, diharapkan dapat mengelakkan seseorang itu daripada dijangkiti oleh penyakit yang berbahaya terebut.

     Pihak berkuasa setiap negara juga perlu membuat pemeriksaan yang ketat dan menyediakan alat pengimbas di pintu-pintu masuk utama negara masing-masing. Sebagai contohnya, alat pengimbas tersebut perlu diletakkan di lapangan-lapangan terbang antarabangsa seperti di KLIA, Kuching, dan Bayan Lepas. Alat pengimbas tersebut berupaya untuk mengesan pelancong yang memasuki negara kita sekiranya mereka dijangkiti oleh penyakit itu. Sekiranya mereka telah dijangkiti oleh penyakit tersebut, maka mereka perlu dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan dan dikuarantin.

     Pihak berkuasa perlu menyediakan ubat-ubatan dan vaksin yang boleh melawan virus H5N1 dan mencegah virus tersebut daripada menyerang manusia. Seseorang yang perlu ke luar negara atas urusan yang penting perlu diberikan suntikan vaksin yang dapat mencegah seseorang itu daripada dijangkiti penyakit tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana vaksin yang berkesan akan berupaya untuk melawan virus penyakit itu daripada menyerang mangsanya. Orang yang sudah dijangkiti oleh penyakit itu pula, perlu diberikan rawatan yang rapi dengan ubat-ubatan yang benar-benar berkesan untuk mengubati pesakit tersebut.

     Langkah seterusnya ialah pihak berkuasa perlu memusnahkan haiwan yang telah dijangkiti dan menjadi punca penyakit itu merebak kepada manusia pula. Unggas seperti burung dan ayam yang telah dijangkiti perlulah dihapuskan segera agar wabak tersebut tidak menjangkiti manusia pula. Hal ini perlu dilakukan kerana penyakit ini sebenarnya berpunca daripada unggas seperti ayam dan burung yang dijangkiti oleh virus tersebut. Seterusnya, virus itu berpindah kepada manusia yang memeliharanya atau terlibat secara langsung dengan unggas tersebut setiap hari.

     Sebagai kesimpulannya, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah peka terhadap keadaan di sekeliling mereka dan mengambil langkah yang berkesan untuk menangani masalah tersebut. Aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlulah diberikan perhatian yang utama dalam kehidupan seharian. Janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah kerana sekiranya aspek kebersihan diabaikan sudah pasti penyakit itu akan mudah menyerang mangsanya. Jadi, langkah awal penting untuk menghindarkan seseorang itu daripada dijangkiti oleh wabak yang berbahaya ini. Selain itu, tindakan tersebut juga akan dapat meyakinkan pelancong yang hendak melancong ke negara kita dan industri pelancongan tidak akan terjejas. Kita berharap agar masalah itu dapat ditangani dengan berkesan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat negara ini.

Wednesday, September 29, 2010

Perkongsian Pintar dengan Pelajar-pelajar SMK. Pitas, Sabah

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Penolong Kanan Tingkatan 6, SMK. Pitas iaitu Cikgu Maklin Masiau yang telah sudi untuk menjemput saya ke Kota Kinabalu bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu STPM. Terima kasih juga kepada Cikgu Kamoi dan suaminya, Encik Vitalis yang sanggup menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada saya. Seterusnya, tahniah kepada Pengetua, Cikgu Maklin, dan guru-guru Tingkatan 6 yang telah berjaya menganjurkan Perkampungan Skor A STPM 2010 di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 24 – 26 September 2010.

Semasa di Kota Kinabalu juga saya telah bertemu dengan Cikgu Ong, rakan sekolah semasa di Tingkatan 6 di S.M. Seri Perak, Teluk Intan, yang juga menjadi seorang guru Pengajian Am di Sekolah Tinggi, Kota Kinabalu. Terima kasih kepada Cikgu Ong yang sanggup menjadi "pemandu pelancong" dan membawa saya ke beberapa tempat yang menarik di Kota Kinabalu.

Saya berasa kagum akan usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh guru-guru Tingkatan 6 terutamanya Cikgu Maklin Masiau untuk meningkatkan pencapaian pelajar-pelajarnya dalam peperiksaan STPM tahun ini. Mereka sanggup berkorban dari segi masa, tenaga, dan wang ringgit, semata-mata untuk kejayaan pelajar-pelajar Tingkatan 6 SMK. Pitas. Program ini merupakan satu suntikan semangat baharu yang akan meningkatkan motivasi para pelajar untuk mencapai kejayaan dalam STPM. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajar yang telah memberikan kerjasama yang baik semasa sesi ceramah berlangsung pada petang Sabtu yang lepas walaupun berlarutan dari pukul 2.00 hingga pukul 5.00 petang. Latihan yang dihantar kepada saya tempoh hari akan saya kembalikan sedikit masa lagi.

Saya mendoakan semua pelajar SMK. Pitas akan mendapat kejayaan yang cemerlang terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan juga mata pelajaran yang lain. Perkara penting yang perlu anda lakukan sekarang adalah dengan membaiki kesilapan dan kelemahan serta tingkatkan bilangan latihan untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam STPM nanti.

Semoga berjaya.

Monday, September 27, 2010

Fokus Karangan SPM 2010 – Bencana Alam

Antara isu lain yang perlu difokuskan dalam karangan SPM 2010 nanti ialah isu yang berkaitan dengan bencana alam.


Soalan yang berkaitan dengan isu ini terdapat dalam Kertas 1 (Karangan Respons Terbuka) Peperiksaan Percubaan SPM 2010 negeri Terengganu iaitu Soalan 3.


Kejadian tanah runtuh yang sering berlaku di negara ini berpunca daripada kerakusan manusia itu sendiri.

      Tulis sebuah rencana tentang faktor-faktor berlakunya tanah runtuh dan kesan-kesannya.



Selain itu, soalan negeri Perak juga menyentuh isu yang sama, cuma soalan tersebut termasuk dalam dimensi isu antarabangsa iaitu soalan 4 dan fokus soalannya juga berbeza.

Kejadian bencana alam sering melanda negara-negara di rantau ini. Sebagai tindakan berjaga-jaga, Malaysia telah mengambil langkah untuk bekerjasama dengan negara serantau bagi menghadapi kejadian tersebut pada masa hadapan.

     Huraikan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan negara serantau untuk menghadapi bencana alam tersebut.

Yang berikut, dipaparkan pula soalan dan karangan contoh yang menyentuh isu yang hampir sama dengan soalan negeri Terengganu untuk dijadikan rujukan.

Soalan contoh


Sesetengah bencana alam yang berlaku adalah disebabkan perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

     Jelaskan sebab-sebab bencana alam yang berlaku akibat perbuatan manusia sendiri.


Rangka Karangan

Pendahuluan
- kita sering dikejutkan dengan kejadian bencana alam

Isi-isi Karangan
i. aktiviti pembalakan menjadi faktor berlakunya bencana alam
i. individu-individu yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka
iii. anggota masyarakat membuang sampah ke dalam longkang dan sungai
iv. aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng bukit

Penutup
- semua pihak harus bekerjasama dan berganding bahu

Karangan Contoh


     Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letupan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang mampu menghalang kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tidak terancam.
     Aktiviti pembalakan memang merupakan salah satu penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan tidak memikirkan kesannya sebelum menebang pokok. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, pasti akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, perkara ini membuktikan bahawa masalah ini menjadi penyebab bencana alam berlaku.
     Terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma akan mengalami masalah pernafasan dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia yang tidak berdosa.
     Ada sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, perkara ini jelas membuktikan bahawa sikap anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab menjadi punca bencana alam berlaku.
     Bencana alam yang berlaku kebiasaannya disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.
     Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa sebenarnya Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir, dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera sebelum bertindak agar kita tidak ditimpa oleh bencana alam akibat tindakan kita sendiri yang tidak bertanggungjawab.

Sunday, September 19, 2010

Fokus Karangan SPM 2010 - Peranan Ibu Bapa Galakkan Anak Aktif dalam Bidang Sukan

Antara soalan yang perlu difokuskan dalam karangan SPM 2010 nanti ialah soalan tentang peranan ibu bapa untuk menggilap bakat anak-anak dalam bidang sukan.


Soalan ini terdapat dalam Kertas 1, Karangan Respons Terbuka Peperiksaan Percubaan SPM 2010 Negeri Kelantan iaitu Soalan 2.

Malaysia ketandusan atlet yang berbakat dalam bidang sukan. Semua pihak termasuk keluarga berperanan penting dalam mencungkil bakat anak-anak mereka sejak kecil lagi.

     Huraikan peranan ibu bapa untuk menggilap bakat anak-anak dalam bidang sukan.

Di bawah ini, dipaparkan soalan dan karangan contoh yang hampir sama dengan soalan tersebut.

Soalan contoh

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak bergiat dalam bidang sukan.
        Huraikan pendapat anda.

Rangka Karangan

Pendahuluan
- Sukan merupakan antara bidang yang penting di negara kita - aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah

Isi-isi
i.   Memberikan galakan dengan cara membeli peralatan sukan
ii.  Menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif
iii. Memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan
iv. Membelikan anak-anak majalah sukan

Penutup
- Peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan – ibu bapa perlu memainkan peranan yang sepatutnya

Karangan Contoh

       Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang berkesan dengan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa. Sekiranya ibu bapa memberikan galakan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan di negara kita akan tercapai iaitu seperti peribahasa Melayu, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Dengan cara itu, nama negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayaan atlet negara dalam bidang sukan.

       Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakan dengan cara membelikan anak-anak mereka peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, squash dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak dapat dikembangkan sekiranya peralatan yang sesuai dimiliki oleh mereka. Seterusnya, mereka diharapkan dapat melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan negara.

       Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan menyihatkan dan mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat dalam sukan dan permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara di persada dunia.

       Ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka juga boleh menemani anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan atau permainan. Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu, tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. Seterusnya, mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

       Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh mereka. Hal ini demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau perkembangan terkini dalam bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan tersebut. Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta motivasi kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.

       Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan dalam usaha untuk menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran supaya memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan di negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek kecemerlangan akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan sukan kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara kita maju dalam bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika pepatah, "genggam bara api biar sampai jadi arang" sentiasa menjadi amalan dalam diri setiap orang yang ingin akan kejayaan.

Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri



Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada semua guru, terutamanya rakan-rakan yang mengendalikan blog Bahasa Melayu, seterusnya tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar STPM, SPM dan semua pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini.