Pengikut laman ini

Saturday, January 30, 2010

Isu/Topik Karangan Tingkatan 6 2010


Seperti biasa, isu karangan sentiasa berubah setiap tahun. Walau bagaimanapun, ada juga isu yang dibincangkan pada tahun-tahun lepas masih belum disoal dalam peperiksaan STPM. Oleh hal yang demikian, isu tersebut masih relevan dengan keadaan semasa dan masih boleh dibincangkan dan dijadikan latihan untuk menulis karangan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 6 pada tahun ini.

Kebiasaannya, soalan-soalan yang pernah keluar dalam peperiksaan STPM akan berfokus kepada isu nasional atau negara, masyarakat serta remaja atau pelajar berdasarkan bidang-bidang tertentu seperti ekonomi, pendidikan, sukan, bahasa, seni atau budaya, sains dan teknologi, kemanusiaan dan kemasyarakatan, sastera, sejarah, geografi, hal ehwal wanita, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, saya telah menyediakan isu-isu yang boleh digunakan oleh pelajar dan guru untuk dibincangkan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas pada tahun ini. Pelajar-pelajar bolehlah mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan isu tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan STPM pada tahun ini. Pelajar-pelajar perlu bersedia lebih awal dan perlu berlatih untuk mencari isi penting dan mengolah isi karangan, agar menjadi karangan yang mantap. Yang berikut disenaraikan isu-isu karangan tersebut.

1. Pemanasan Global – Faktor, kesan dan langkah untuk mengatasinya.
2. Penganjuran Sukan Peringkat Antarabangsa – Kepentingannya
3. Bangunan atau Tempat Bersejarah – Kepentingan dan usaha untuk mengekalkannya
4. Masalah Bencana Alam – Kesan dan usaha untuk membantu mangsa
5. Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan – Kepentingan dan usaha yang dijalankan
6. Perniagaan Internet – Kepentingannya
7. Jenayah Ragut - Langkah untuk menanganinya
8. Penggunaan Kad Kredit – Kepentingan dan langkah untuk mengawal penggunaannya.
9. Masalah Perumahan – Kesan dan langkah untuk mengatasinya
10. Penyakit kanser – Kesan dan usaha-usaha untuk menanganinya
11. Sekolah Kluster – Kepentingannya
12. Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah – Punca dan usaha untuk menanganinya
13. Pelaburan Asing – Kepentingan dan usaha untuk menarik pelaburan asing
14. Pengangkutan Awam – Kelebihan dan usaha untuk menggalakkan penggunaannya
15. Perubatan Alternatif – Kepentingannya
16. Kes Penculikan Kanak-kanak – Langkah-langkah untuk menanganinya
17. Adat Resam – Kepentingan dan usaha untuk mengekalkannya
18. Orang Gaji Asing – Masalah dan usaha untuk mengatasinya
19. Pertanian Moden – Kepentingan dan usaha untuk memajukannya
20. Kebanjiran Drama Bersiri Asing – Kesan dan usaha untuk mengawalnya

Pelajar-pelajar harus sedar bahawa menulis karangan ialah satu kemahiran yang perlu digilap melalui latihan yang berterusan. Hal ini demikian kerana kemahiran mengarang melibatkan kemahiran maklumat, kemahiran berfikir, kemahiran memindahkan idea daripada fikiran ke dalam bentuk tulisan dan ayat di atas kertas. Sekiranya murid-murid tidak membiasakan diri dengan latihan menulis karangan sudah pasti murid-murid akan menghadapi masalah dan berasa kekok untuk menulis karangan di dalam dewan peperiksaan nanti. Oleh hal yang demikian, murid-murid perlulah mendisiplinkan diri dengan sekurang-kurangnya menulis satu perenggan karangan setiap hari. Murid-murid perlulah memperuntukkan masa sekurang-kurangnya sepuluh hingga lima belas minit untuk menulis satu perenggan karangan setiap hari. Pelajar-pelajar hendaklah menjadikan perkara tersebut sebagai amalan harian yang perlu dilakukan seperti amalan makan dan minum atau amalan menunaikan solat lima waktu setiap hari.

Kebiasaannya juga, saya akan menekankan aspek penulisan karangan ini kerana banyak murid yang menghadapi masalah untuk menulis karangan dan mereka menganggap penulisan karangan sebagai suatu perkara yang amat berat atau sukar untuk dilakukan dan ada juga yang tidak mahu membuat latihan secara sistematik dan konsisten. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah mengubah persepsi tersebut dan menjadikan amalan menulis satu perenggan karangan sekurang-kurangnya setiap hari sebagai satu budaya atau amalan hidup hinggalah menjelang hari peperiksaan. Pelajar-pelajar harus ingat bahawa dengan membuat latihan secara konsisten, sudah pasti murid-murid akan terbiasa dengan budaya itu dan dapat menulis karangan yang mantap dan cemerlang dalam peperiksaan nanti. Insya-Allah.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, January 26, 2010

Karangan SPM (Berdasarkan Buku Teks Tingkatan 5)

Unit 3. Pengangkutan Alaf Ini (Buku Teks Tingkatan 5, m.s. 48)


Soalan Contoh

Masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya.
Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada masyarakat di negara ini.


Rangka Karangan

Pendahuluan
- Inovasi dalam sistem pengangkutan

Isi-isi Penting
i. mengurangkan kesesakan lalu lintas
ii. menjimatkan masa dan kos perjalanan
iii. memudahkan perjalanan seseorang
iv. mengurangkan pencemaran alam

Penutup
- lebih banyak kebaikan menggunakan pengangkutan awam


Karangan Contoh

Dunia sentiasa mengalami inovasi dalam sistem pengangkutan dari semasa ke semasa. Dalam era globalisasi ini, pelbagai jenis kenderaan yang moden telah dicipta bagi menggantikan kenderaan yang konvensional. Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis kenderaan awam seperti monorel, ERL, komuter, bas, teksi, kapal terbang dan sebagainya. Pengangkutan awam yang moden itu pula mampu untuk memainkan peranan yang penting kepada sesebuah negara untuk mencapai kemajuan. Dengan perkataan lain, pengangkutan awam yang terdapat di negara kita juga tidak kurang pentingnya kerana terdapat pelbagai kelebihan yang akan diperoleh apabila masyarakat menggunakannya.

Kelebihan utama pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota atau bandar-bandar besar yang lain. Hal ini demikian kerana kebanyakan rakyat Malaysia gemar menggunakan kenderaan sendiri terutamanya ketika ingin menuju ke tempat kerja. Di samping itu, mereka kebiasaannya bersikap bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ketika berada di jalan raya. Perkara ini akhirnya mengakibatkan kesesakan jalan raya yang serius. Oleh itu, pengangkutan awam seperti komuter, monorel, ERL (Express Rail Link), LRT (Light Rail Transit)) dan sebagainya dapat memainkan peranan yang penting untuk membendung masalah kesesakan jalan raya yang semakin kronik di ibu negara kita.

Penggunaan pengangkutan awam juga dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan. Sebagai contohnya, ERL dapat memendekkan masa perjalanan jika dibandingkan dengan penggunaan kereta. Tambang pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga amat berpatutan jika dibandingkan dengan masa perjalanannya yang telah disingkatkan. Oleh itu, jika dibandingkan antara pengangkutan awam dengan kenderaan biasa, masyarakat akan mendapat manfaat sekiranya menggunakan pengangkutan awam. Harga petrol yang tidak menentu di pasaran global telah memberikan impak yang negatif kepada rakyat yang menggunakan kenderaan peribadi. Oleh hal yang demikian, banyak perbelanjaan boleh dijimatkan sekiranya orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Selain itu, pengangkutan awam juga akan memudahkan perjalanan seseorang ke sesuatu tempat. Dengan adanya pengangkutan awam seperti ERL dan LRT, sistem pengangkutan yang lebih efisien berbanding dengan kenderaan persendirian dapat diwujudkan tambahan pula banyak tempat di ibu kota yang termasuk dalam jaringan pengangkutan awam tersebut. Perkara ini sekali gus dapat meningkatkan kadar ketepatan atau kepantasan seseorang ke sesuatu destinasi. Hal ini seharusnya diberikan pertimbangan oleh anggota masyarakat agar menggunakan kenderaan awam untuk ke sesuatu destinasi. Oleh itu, kenderaan awam sepatutnya menjadi pilihan utama masyarakat kerana kelebihannya banyak sekali.

Penggunaan pengangkutan awam yang lebih mesra alam pula akan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Pengangkutan awam seperti monorel, LRT dan ERL ialah kenderaan awam yang mesra alam kerana tidak mengeluarkan asap. Hal ini secara langsung dapat membendung pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran udara di negara kita. Perkara yang di sebaliknya pula akan berlaku jika seseorang menggunakan kenderaan persendirian mereka seperti kereta atau motosikal yang terbukti menyebabkan pencemaran alam sekitar. Jadi, pihak berkuasa perlulah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menghalang pencemaran udara yang semakin serius pada masa ini, seperti kata pepatah, “Sediakan payung sebelum hujan”.

Intihanya, pengangkutan awam mempunyai kelebihan yang lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan penggunaan kenderaan persendirian. Oleh itu, anggota masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam jika hendak pergi ke tempat kerja. Sekiranya langkah ini tidak diikuti sudah tentu banyak masalah yang terpaksa dihadapi oleh anggota masyarakat akibat pencemaran alam yang berpunca daripada asap kereta dan motosikal. Jadi, kita perlulah menyokong langkah kerajaan yang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam melalui kempen ‘kongsi kereta’ untuk ke tempat kerja. Sekiranya kempen ini mendapat sokongan daripada masyarakat, sudah tentu masalah pencemaran udara dapat diatasi, di samping dapat menjimatkan perbelanjaan anggota masyarakat.


Tuesday, January 12, 2010

Karangan SPM - Kepentingan Menguasai Ilmu

Unit 2. Pendidikan Alaf Ini (Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 5, m.s. 23)
Soalan Contoh
Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang akan menentukan kejayaan seseorang itu.
Huraikan kepentingan menguasaai ilmu dalam pelbagai bidang pada masa ini.
Rangka Karangan

Pendahuluan
- penguasaan ilmu penting – tuntutan zaman – banyak manfaat

Isi-Isi Penting
i. mencipta inovasi - kemudahan manusia
ii. menguasai bidang perniagaan – k-ekonomi
iii. memajukan negara – pemimpin berilmu
iv. melahirkan masyarakat yang proaktif

Penutup
- orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia


Karangan Contoh

Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang memang penting dan perlu diberikan perhatian utama. Hal ini demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan ilmu atau pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan dengan bijaksana. Oleh itu, semua orang hendaklah berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk kesejahteraan hidup seperti kata-kata hikmat, “Ilmu pelita hidup”. Jadi, semua orang khususnya para remaja hendaklah menggunakan masa ketika muda ini untuk mencari ilmu sebanyak mana yang mungkin. Dengan adanya ilmu, sudah tentu seseorang itu akan mendapat manfaat yang banyak terutamanya dalam era globalisasi ini.

Dengan adanya ilmu, seseorang itu boleh mencipta inovasi baru dalam pelbagai bidang kehidupan manusia hari ini. Ciptaan baharu yang berupa inovasi itu akan memberikan kemudahan kepada kehidupan seharian manusia. Sebagai buktinya, banyak inovasi baharu yang dicipta pada masa ini, contohnya telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai alat canggih yang lain. Hal ini sudah tentu memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam teknologi. Jadi, pada masa akan datang sudah pasti budaya yang mementingkan ilmu dalam pelbagai bidang akan menguasai budaya masyarakat.

Ilmu yang dimiliki juga membolehkan kita menguasai bidang perniagaan yang semakin kompleks dan bercorak global. Perkara ini demikian kerana, dalam era globallisasi, k-ekonomi merupakan trend baru dalam perniagaan. Jadi, ekonomi yang berasaskan pengetahuan sudah menguasai dunia perniagaan pada masa ini. Oleh itu, jika seseorang tidak dapat mengikut arus k-ekonomi ini, sudah pasti orang itu akan ketinggalan zaman iaitu, seperti katak di bawah tempurung dan pastinya akan gagal untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan pada masa ini.

Jika seseorang itu menguasai ilmu sudah pastilah dia akan dapat memajukan diri dan negaranya sendiri. Hal ini demikian kerana, negara kita memerlukan pemimpin yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan era globalisasi pada masa ini. Seseorang pemimpin yang berilmu akan membawa perubahan yang positif untuk kemajuan rakyat dan negara. Jika pemimpin tidak dapat menguasai ilmu, sudah pastilah negara kita akan tertinggal di belakang negara-negara maju yang lain. Jadi, seperti kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, para pemimpin juga perlu menguasai pelbagai ilmu terutamanya ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.

Sekiranya rakyat negara ini dapat menguasai ilmu, sudah pasti hal ini akan melahirkan masyarakat yang proaktif. Perkara ini demikian kerana, masyarakat yang berilmu sentiasa berfikir secara positif atau optimis tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara pesimis dan mudah pula berputus asa. Sebagai contohnya, seseorang yang berfikir secara positif sudah tentu akan menjadikan masalah itu sebagai cabaran dan bukannya halangan untuk mencapai objekifnya. Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan budaya yang sentiasa dahaga akan ilmu dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat atau “life long learning” sebagai amalan dalam kehidupan.

Oleh hal yang demikian, ungkapan orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia perlulah diberikan perhatian oleh semua orang. Dengan berdasarkan ungkapan itu, janganlah kita suka membuang masa kerana masa itu emas dan masa tidak akan menunggu kita. Sekiranya kita lalai dan tidak menggunakan masa dengan bijaksana, sudah tentu kita akan termasuk dalam golongan yang berada dalam kerugian. Jadi, gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang teknologi maklumat yang sentiasa berubah hampir setiap hari.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Sunday, January 10, 2010

Watak dan Perwatakan Novel Melunas Rindu

 Watak Utama
Fuad (Joshua atau Abdul Halim)

Watak Fuad digambarkan oleh pengarang sebagai seorang anak muda yang kacak, tubuhnya tinggi, berdarah kacukan Cina dan Melayu, iaitu ayahnya berketurunan Cina dan emaknya pula berketurunan Melayu.

Selain itu, Fuad memiliki kelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari universiti ternama di Amerika Syarikat. Fuad bekerja sebagai guru sementara yang mengajarkan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Dia juga seorang yang dedikasi terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas dan sanggup pulang lewat untuk membimbing anak-anak muridnya yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Fuad ialah seorang yang taat akan perintah agama dan sebagai buktinya dia tidak pernah meninggalkan solat walaupun dalam perjalanan jauh atau sebagai musafir dia menunaikan solat qasar. Sebagai contohnya, Fuad berhenti di sebuah masjid untuk menunaikan solat qasar ketika dia dan Farhana dalam perjalanan ke Kuantan.

Fuad ialah seorang anak muda yang tabah menghadapi cabaran hidup yang penuh dengan liku dan dia tidak pernah mengesali nasibnya itu, contohnya dia tabah menghadapi hidupnya tanpa ibu dan bapa di sisinya. Dia cuma menumpang kasih sayang daripada bapa dan ibu saudaranya iaitu Patrik Lim dan Swee Lan. Selain itu, dia juga menumpang kasih sayang daripada keluarga angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah. Bukti lain ialah dia tabah menghadapi kenyataan bahawa Farhana ialah adik kandungnya sendiri yang berlainan bapa.

Fuad juga digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan apaknya dan juga adik-adik sepupunya. Buktinya dia sanggup memberikan wang dan menanggung persekolahan Ah Soh yang sedang belajar di tingkatan enam atas.

Fuad turut digambarkan sebagai orang yang suka menolong orang lain. Sebagai contohnya, dia membantu Farhana untuk menjaga ibunya yang sakit di hospital dan mengambil berat akan adik-adik Farhana. Selain itu, Fuad seorang yang murah hati dalam menghulurkan sebarang bantuan, contohnya dia dengan murah hati membayar bil rawatan anak rakannya, iaitu Borhan yang demam panas. Di samping itu, Fuad juga murah hati dengan membelikan Pak Ismail sebuah motosikal untuk kegunaannya seharian. Fuad juga murah hati dengan memberi jagung yang ditanamnya sendiri kepada Farhana dan guru-guru di sekolahnya.

Selain itu, Fuad digambarkan sebagai seorang yang menghormati orang lain, contohnya dia menghormati Pak Ismail dengan Mak Salmah dan tidak pernah meninggikan suaranya ketika berbicara. Contoh yang lain ialah dia menghormati Cikgu Zamani dengan memenuhi jemputan untuk makan malam di rumahnya.

Watak Sampingan

Farhana


Pengarang menggambarkan Farhana bertubuh kecil molek, berkulit putih dan cantik orangnya. Farhana berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Inggeris dari universiti luar negara. Farhana berumur dua puluh empat tahun.

Farhana bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Di sekolah itu dia diamanahkan untuk menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris dan membantu Pengetua dan Penolong Kanan dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Farhana ialah seorang yang periang, mudah ketawa dan mudah untuk diajak berbual. Dia juga seorang yang nakal dan lincah.

Dia juga seorang yang dedikasi dan komited terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas lanjutan seperti yang dilakukan oleh ikgu Zamani. Dia berusaha untuk membantu anak-anak muridnya untuk lulus dalam peperiksaan Bahasa Inggeris. Selain itu, Farhana turut digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan emak dan adik-adiknya. Di samping itu, dia juga menyimpan perasaan sayang terhadap Fuad. Akhirnya perasaan sayang itu bertukar menjadi perasaan sayang kepada abang kandungnya sendiri.

Selain itu, Farhana digambarkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarganya sendiri. Sebagai contohnya, Farhana segera pulang ke Kuantan untuk menjaga ibunya yang sakit lelah dan dimasukkan ke hospital. Dia sanggup tidur di hospital semata-mata untuk menjaga ibunya yang sakit itu.

Walau bagaimanapun Farhana juga digambarkan sebagai seorang yang tegas pendirian, contohnya dia tetap mempertahankan pendapat ketika bertengkar dengan Cikgu Zamani yang suka ponteng kelas di sekolah.

Selain itu, Farhana juga seorang yang berani menegakkan kebenaran, contohnya dia berani berhujah dengan Cikgu Zamani yang selalu ponteng kelas dan suka mengkritiknya.

Walaupun perwatakannya nampak kasar dan tegas tetapi Farhana sebenarnya seorang yang sensitif dan beremosi contohnya, dia menangis dan berasa sedih apabila Fuad memberitahunya tentang hubungan mereka sebenarnya ialah adik-beradik. Dia agak sukar untuk menerima kenyataan itu pada peringkat awalnya.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, January 8, 2010

Format Kertas Penyelidikan Prauniversiti

Bagi guru-guru dan pelajar-pelajar prauniversiti, saya ingin berkongsi maklumat lagi tentang format penyelidikan yang perlu dijalankan oleh semua pelajar. Selain format yang dipaparkan sebelum ini, saya akan memaparkan satu format lain yang juga tidak jauh bezanya dengan format sebelum ini. Walaupun terdapat perbezaan yang kecil, namun perbezaan itu tidak menjejaskan penyelidikan yang dijalankan. Setelah penyelidikan dijalankan dan data sudah dikutip serta dianalisis, maka pelajar-pelajar perlulah melaporkannya dalam bentuk laporan penyelidikan atau penulisan ilmiah mengikut format yang dipaparkan di bawah ini. Oleh itu, pelajar-pelajar perlu menjalankan penyelidikan mengikut format yang sama dengan format laporan penyelidikan atau penulisan ilmiah. Jumlah halamannya hendaklah antara 15 hingga 25 muka surat.

Tajuk Kajian

Abstrak (1 halaman)

Pengenalan (4 halaman)
3.1 Latar belakang Kajian
3.2 Penyataan Masalah
3.3 Tujuan Kajian
3.4 Kepentingan Kajian
3.5 Batasan Kajian

Tinjauan Kajian Lampau dan Penulisan yang Berkaitan/Tinjauan Literatur (3 halaman)
4.1 Pengenalan
4.2 Definisi frasa penting tajuk penyelidikan
4.3 Dapatan hasil kajian lampau

Metodologi (5 halaman)
5.1 Pengenalan
5.2 Sampel dan ’site’
5.3 Instrumentasi
5.4 Kesahihan Instrumen
5.5 Pentadbiran Soal Selidik
5.6 Temu Bual
5.7 Analisis Data Secara Kualitatif
5.8 Analisis Data secara Kuantitatif

Analisis Data (5 halaman)
6.1 Pengenalan
6.2 Analisis

Perbincangan Hasil Dapatan, Kesimpulan, dan Cadangan (5 halaman)
7.1 Pengenalan
7.2 Dapatan
7.3 Cadangan
7.4 Kesimpulan

Bibliografi

Lampiran


Selain itu saya juga akan mencadangkan format teknikal yang lain seperti saiz font yang dicadangkan ialah 12pt dan berhuruf Arial. Jidar atau marginnya pula dicadangkan 2.5 cm di sebelah atas, bawah dan bahagian kanan. Bahagian sebelah kiri pula digalakkan lebih besar sedikit untuk memudahkan proses penjilidan. Jarak antara baris pula digalakkan satu setengah langkau (1.5 spacing).

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim