Pengikut laman ini

Saturday, March 28, 2009

Bahas Ala Parlimen Guru-guru KPM

Maklumat Baharu tentang Pertandingan Bahas Ala Parlimen Guru-guru Kementerian Pelajaran Malaysia 2009

Saya difahamkan bahawa pada tahun ini, guru-guru yang akan menyertai pertandingan bahas ala parlimen di peringkat zon dan kebangsaan akan diperkenalkan dengan format yang baharu. Kebiasaannya, usul perbahasan akan diberikan kepada pembahas dua minggu sebelum pertandingan tetapi pada tahun ini para pembahas akan diberikan usul satu jam sebelum pertandingan iaitu sebelum masa kuarantin. Isu yang difokuskan untuk pembinaan usul bahas itu nanti ialah Pelan Induk Pembangunan Pedidikan (PIPP). Oleh itu, guru-guru perlu memahami PIPP dengan mendalam dan membuat rujukan yang secukupnya untuk menyiapkan diri dengan pertandingan itu nanti.

Para pembahas juga tidak dibenarkan membawa alat-alat elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba ke dalam bilik kuarantin. Para pembahas cuma dibenarkan untuk membawa kamus sahaja ke dalam bilik kuarantin.

Saya turut difahamkan bahawa format ini diperkenalkan untuk menguji kebolehan guru-guru untuk berbahas secara spontan dan tidak terikat sangat dengan teks perbahasan yang telah disediakan lebih awal. Sekiranya cara lama dikekalkan, penonton akan mudah berasa bosan kerana para pembahas terlalu mengikut teks atau membaca teks yang telah disediakan lebih awal. Pertandingan seperti ini akan menjadi hambar dan kurang menarik.

Bagi para pembahas yang akan mewakili negeri Selangor, saya ingin mengucapkan selamat berbahas dan pulang dengan kejayaan yang cemerlang untuk meneruskan cabaran dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen peringkat kebangsaan di Kuala Terengganu pada bulan Mei nanti iaitu bersempena dengan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan. Buktikan bahawa anda bertiga ialah pembahas yang terbaik di Malaysia.

Daripada; Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, March 27, 2009

Pertandingan Bahas Ala Parlimen Daerah Sepang

Pertandingan Bahas Ala Perlimen Bahasa Melayu Daerah Sepang 2009
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan bahas yang telah berjaya memasuki pertandingan akhir peringkat daerah Sepang pada hari Khamis (26 Mac 2009) yang lalu. Dalam pertandingan akhir itu, para pembahas SMK. Cyberjaya telah menewaskan pembahas-pembahas SMK. BBST. Tahniah sekali lagi kepada para pembahas SMK. Cyberjaya yang akan menggalas cabaran ke pertandingan peringkat negeri pada bulan April nanti.

Berdasarkan pengamatan dan penilitian saya sebagai juri dan pegawai teknikal, terdapat beberapa kelemahan yang perlu dibaiki oleh para pembahas terutamanya para pembahas SMK. Cyberjaya yang akan mewakili daerah Sepang ke pertandingan peringkat negeri. Perkara pertama yang perlu diberikan perhatian ialah hujah-hujah dan fakta atau bukti sokongan yang dikemukakan oleh para pembahas. Pembahas ketiga perlu membidas semua hujah lawan dan perlu mempertahankan hujuah-hujah pasukan mereka. Jadi, pembahas ketiga perlu peka dengan hujah-hujah lawan dan perlu membidasnya dengan alasan yang konkrit. Dalam pertandingan peringkat awal hingga pertandingan akhir peringkat daerah, hujah yang dikemukakan oleh pasukan bahas memang relevan tetapi kurang disokong oleh fakta-fakta atau bukti-bukti yang dapat memantapkan hujah pembahas. Selain itu, apabila hujah kurang disokong oleh fakta-fakta atau bukti-bukti yang mantap, markah untuk isi akan kurang.

Para pembahas juga kebanyakannya cuma dapat berbahas dalam masa lebih kurang 5, 6 atau 7 minit sahaja. Sepatutnya para pembahas perlu memainkan peranan sebagai pembahas dan berbahas dalam masa yang diperuntukkan iaitu lapan minit. Hal ini sangat penting dan perlu diberikan perhatian oleh pembahas kerana mempengaruhi hakim untuk memberikan markah strategi. Kebanyakan pembahas juga bercakap terlalu cepat seolah-olah hendak mengejar masa, tetapi mereka menamatkan ucapan pada minit yang ke-5 atau ke-6 sahaja. Para pembahas mengatakan bahawa mereka bercakap dengan cepat disebabkan untuk mengelakkan rasa gugup atau gementar. Kesannya, apabila pembahas bercakap dengan terlalu laju, maka banyaklah sebutan yang tersasul, dan tidak baku.

Para pembahas juga tidak mahu menerima Izin Laluan kerana takut akan soalan yang tidak mampu untuk dijawab. Ada juga pembahas yang tidak mengemukakan Izin Laluan kepada pihak lawan. Hal ini menunjukkan kurangnya pengetahuan para pembahas terhadap isu-isu penting dalam sesuatu usul itu. Oleh itu, para pembahas seharusnya membuat rujukan dan banyak membaca bahan-bahan yang berkaitan dengan usul yang perlu dibahaskan. Ingatlah bahawa kemenangan sesuatu pasukan bahas ditentukan oleh kemantapan ketiga-tiga orang pembahas yang dinilai daripada aspek Isi (30 markah), Strategi (30 markah), Bahasa (20 markah), dan Gaya (20 markah).

Walau bagaimanapun, para pembahas yang akan mewakili daerah masih mempunyai masa yang banyak untuk membaiki kelemahan tersebut. Bagi sekolah-sekolah yang gagal untuk melayakkan diri ke pertandingan akhir, berusahalah dengan gigih dan cuba lagi pada tahun depan. Bagi Faiqah, peserta bahas yang mewakili SMK. BBST, tahniah atas kejayaan anda sebagai pembahas terbaik dalam pertandingan akhir tersebut. Cuba lagi pada tahun depan untuk merampas kejuaraan daripada SMK. Cyberjaya. Bagi peserta bahas yang mewakili SMK. Sungai Rawang, syabas saya ucapkan kerana anda telah menunjukkan bahawa anda juga mampu berbahas, walaupun baru kali pertama mengambil bahagian.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas kepada semua peserta bahas yang mewakili setiap sekolah di Daerah Sepang yang telah berani berbahas di hadapan penonton atau khalayak. Anda telah memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang bermakna dengan menyertai pertandingan ini. Hal ini demikian kerana, aktiviti seperti ini merupakan aktiviti sokongan yang akan mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran anda terutamanya untuk menjawab soalan karangan. Bagi peserta bahas yang tidak berjaya, jangan putus asa, cuba lagi pada tahun depan.

Daripada; Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, March 24, 2009

Pendahuluan Karangan STPM dan SPM

Pendahuluan Karangan SPM dan STPM
Cara Menulis Pendahuluan Karangan dengan Menggunakan Teknik FACLK
Cikgu mendapati bahawa masih banyak anak murid cikgu yang kurang faham dan menghadapai masalah untuk menulis perenggan pendahuluan yang mantap. Jadi, kali ini cikgu akan membincangkan cara atau panduan untuk menulis pendahuluan karangan. Hal ini perlu diberi perhatian kerana terdapat juga murid yang tidak mementingkan aspek pendahuluan dalam karangan. Buktinya, ada murid yang menulis dua ayat sahaja dalam pendahuluan karangannya. Selain itu, ada juga murid yang menulis dua ayat tanya dalam perenggan pendahuluannya. Jadi, siapakah yang akan menjawab soalan tersebut? Jika perkara ini berlaku sudah pastilah markah pendahuluan akan kurang dan markah keseluruhan karangan akan terjejas terutamanya dalam peperiksaan STPM. Karangan yang baik seharusnya mempunyai pendahuluan yang diolah dengan baik dan seimbang dengan perenggan-perenggan yang lain.

Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk menulis pendahuluan karangan seperti yang terdapat dalam buku-buku panduan menulis karangan di pasaran. Ada penulis yang menyarankan pelbagai cara seperti pendahuluan jenis definisi, sejarah, berdasarkan pandangan tokoh-tokoh, dan sebagainya. Jadi, dalam paparan kali ini saya mencadangkan satu cara lagi untuk memudahkan murid berfikir dan menulis pendahuluan karangan tersebut dengan menggunakan teknik FACLK. Diharapkan teknik ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid untuk menulis pendahuluan karangan, selain teknik yang biasa digunakan oleh murid-murid sebelum ini.

Teknik FACLK (Fokus, Akibat, Contoh, Langkah, Kepentingannya)
Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk kepada fokus penyataan (F) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L) dan ayat kelima ialah kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Kemudian, masukkan peribahasa atau gunakan ungkapan menarik, yang dirasakan sesuai dalam mana-mana ayat pendahuluan itu tadi. Jika murid-murid dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang menarik dan mantap serta menepati kehendak skema pemeriksa.

Soalan Contoh 1
Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud.
Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

Perenggan Pendahuluan Contoh 1
Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. (L) Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit. (K)


Soalan Contoh 2
Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

Perenggan Pendahuluan Contoh 2

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita yang perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. (F) Bangunan tersebut boleh dijadikan fakta sejarah yang menarik pelancong asing ke negara kita. (A) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. (C) Jadi, kerajaan kedua-dua buah negeri tersebut perlulah mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tersebut jika tidak mahu perisyhtiharan itu ditarik balik. (L) Oleh itu, langkah yang diambil oleh UNESCO itu perlu disokong kerana hal ini pasti meningkatkan imej negara. (K)

Murid-murid harus menyedari bahawa perenggan pendahuluan sama pentingnya dengan perenggan isi dan perenggan penutup. Perenggan pendahuluan juga akan memberikan gambaran atau impression awal tentang keseluruhan karangan murid-murid. Oleh hal yang demikian, cubalah berlatih untuk menulis pendahuluan karangan dengan menggunakan teknik ini. Sebenarnya, banyak cara lagi untuk menulis pendahuluan karangan dan cikgu mendangkan satu lagi teknik tambahan kepada murid-murid. Jadi, murid-murid mempunyai banyak cara yang boleh dipilih untuk menulis perenggan pendahuluan. Bagi calon-calon STPM, biasakan diri dengan menulis perenggan pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 90 hingga 100 perkataan. Bagi calon-calon SPM pula, biasakan diri dengan menulis pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 50 hingga 60 perkataan. Bagi calon-calon STPM, ingatlah bahawa markah perenggan pendahuluan sudah ditetapkan sebanyak 3 markah, dan kelemahan perenggan pendahuluan sudah pasti akan menjejaskan markah aspek relevan (R) dan juga mempengaruhi markah pengolahan (P).

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, March 16, 2009

Latihan Semasa Cuti Sekolah

Latihan Semasa Cuti Pertengahan Penggal 1
Masa cuti ini perlu dimanfaatkan oleh murid-murid dengan bijaksana. Di samping bercuti atau melancong bersama-sama dengan keluarga, jangan lupa untuk mengulang kaji pelajaran atau membuat latihan seperti biasa. Gunakan masa cuti dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan dapat meningkatkan pengetahuan kita dalam sesuatu perkara.

Bagi calon-calon SPM dan STPM SMKBBST, jangan lupa untuk membuat latihan seperti yang dipesan oleh guru seperti menulis karangan. Sekurang-kurangnya tulislah dua karangan semasa cuti ini. Oleh itu, saya mencadangkan dua soalan karangan untuk ditulis oleh murid-murid sebagai latihan tambahan ke arah peperiksaan.

Soalan karangan untuk calon SPM
1. Masyarakat digalakkan untuk menggunakan sistem pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya.
Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada masyarakat.


2. Anda berminat untuk menulis rencana tentang masalah mahasiswa yang menganggur dan hanya berminat untuk bekerja makan gaji selepas menamatkan pengajian.
Tulis rencana tersebut selengkapnya.

Soalan karangan untuk calon STPM
1. Kad kredit digunakan dengan meluas oleh segenap lapisan masyarakat di negara kita pada masa ini. Jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku dan masalah yang timbul akibat penggunaannya.

2. Kementerian Kesihatan telah berusaha untuk menangani penyakit demam denggi, namun penyakit berbahaya ini terus berlaku dan membimbangkan masyarakat, terutamanya yang tinggal di kawasan bandar. Pada pendapat anda, mengapakah penyakit ini sukar untuk ditangani?

Bagi calon-calon SPM dan STPM SMKBBST, tulislah dua karangan berdasarkan soalan-soalan yang telah disenaraikan seperti di atas sebagai latihan tambahan untuk memantapkan kemahiran mengarang masing-masing. Diharapkan murid-murid dapat mencari bahan-bahan yang berkaitan dengan karangan tersebut agar karangan menjadi lebih mantap. Anda juga boleh berbincang dengan rakan-rakan untuk mencari isi-isi karangan dan fakta sokongan di samping mengolah dan mengembangkan isi karangan tersebut. Hal ini demikian kerana, murid-murid mempunyai banyak masa untuk melakukannya semasa cuti ini. Bagi murid-murid yang memiliki kemudahan internet di rumah, layarilah laman-laman web yang berkaitan dengan isu-isu karangan tersebut, di samping membuat rujukan daripada bahan-bahan bercetak yang lain seperti akhbar dan majalah.

Selamat bercuti dan jangan lupa untuk menulis karangan.

Saturday, March 14, 2009

Keputusan SPM 2008

Kepada semua calon SPM SMKBBST 2008.

Cikgu ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua calon SPM SMKBBST tahun 2008 kerana telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM yang diumumkan pada hari Khamis lepas. Peratus lulus SPM tahun 2008 meningkat, berbanding dengan tahun 2007 iaitu peningkatan daripada 97.6% kepada 98.8%.

Bagi murid-murid SMKBBST, terutamanya Tingkatan 5S1, 5SK3, dan 5MPV, usaha gigih anda telah membuahkan hasil yang cemerlang, Cikgu ucapkan tahniah kepada murid-murid yang lulus 7D dan 8E, yang mendapat kepujian 3B, 4B, 5C, dan 6C serta murid yang cemerlang dan memperoleh 1A dan 2A. Bagi 3 orang murid (1 calon Pendidikan Khas) yang gagal, jangan putus asa, cuba lagi dengan mendaftar sebagai calon SPM pada tahun ini.

Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu juga membanggakan kerana selain peratus kelulusan meningkat, jumlah pelajar yang memperoleh gred 1A da 2A dalam Bahasa Melayu juga turut meningkat. Keputusan penuh mata pelajaran Bahasa Melayu SMKBBST adalah seperti yang berikut:

Peratus lulus – 98.8%
1A – 63 orang (25.9%)
2A – 50 orang (20.6%)
3B – 26 orang (10.7%)
4B – 25 orang (10.3%)
5C – 31 orang (12.8%)
6C – 14 orang (5.8%)
7D – 22 orang (9.0%)
8E – 9 orang (3.7%)
9G – 3 orang (1.2%) - (1 calon Pendidikan Khas)

Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Tuan Pengetua, Tuan Haji Muskamal, yang sentiasa memberikan dorongan, nasihat dan motivasi kepada guru dan murid, Guru Penolong Kanan, Puan Nik Ainul, semua guru Bahasa Melayu, terutamanya Guru Kanan Bidang Bahasa, Puan Siti Romdiah, Ketua Panitia Bahasa Melayu, Puan Hamizah, Puan Rohani, Puan Zainira, dan Puan Junaidah. Semua usaha yang telah kita ambil untuk membantu murid yang lemah akhirnya menghasilkan kejayaan yang membanggakan. Marilah kita teruskan usaha yang lebih gigih untuk melakar kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun ini.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, March 13, 2009

Tahniah Kepada Pelajar Cemerlang BM STPM 2008

Tahniah atas kejayaan cemerlang iaitu kelulusan 100 peratus kepada semua murid SMKBBST yang mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia STPM 2008. Ucapan tahniah dan syabas kepada 13 orang calon STPM2008, terutamanya kepada 8 orang murid yang mendapat Prinsipal A, seorang Prinsipal B, seorang Prinsipal B-, dan 2 orang lagi mendapat Prinsipal C. Senarai nama murid SMKBBST yang mendapat semua prinsipal bagi Bahasa Malaysia adalah seperti yang berikut:

Prinsipal A

1. CHIN YORK CHOW
2. FAHRUL RADZI B. MOHD DAUD
3. HAIRUNNISA NADIA MOHD HASSIN
4. MOHD FADIL B. YAAKOB
5. MUHAMMAD NAFIS B. KUSNO
6. NORAIN BT. MOHD YUNUS
7. NURUL FATHONAH SAIFUL BAHRI
8. NURZAFIRAH BT. RAHIM

Prinsipal B+

1. NUR FATIMAH BT. MASRIAL

Prinsipal B

1. SITI SARAH SHAKILA BT. HASSAN

Prinsipal B-

1. ANGELINE LOH SUXIN

Prinsipal C

1. FAIZHA ALIAH BT. HARON
2. NUR AIN BT. ABD. RAZAK

Teruskan usaha untuk mencapai kecemerlangan semasa berada di universiti nanti.

Bagi rakan-rakan guru yang mengajar mereka semasa di Tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas iaitu Puan Puvana dan Puan Junaidah, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama dan usaha gigih cikgu. Teruskan usaha cikgu pada tahun ini agar kecemerlangan akan terus dicipta oleh murid-murid sekolah kita.

Daripada Cikgu Mohd Khir Kassim

Wednesday, March 11, 2009

Tahniah Kepada Calon-calon STPM 2008

Kepada semua calon STPM SMKBBST 2008.

Cikgu ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua calon STPM SMKBBST tahun 2008 kerana telah berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM yang diumumkan pada hari Selasa lepas. Tahniah juga cikgu ucapkan kepada 2 orang murid cemerlang yang memperoleh 4 Prinsipal A iaitu Zafirah dan Chin York Chow. Anda telah berjaya membuktikan bahawa anda boleh mencapai kejayaan yang cemerlang jika ada kesungguhan dan usaha gigih tanpa mengenal putus asa. Cikgu bersyukur kerana pencapaian yang telah ditunjukkan oleh semua calon STPM 2008 ini telah mengharumkan nama sekolah dan daerah Sepang. Semua guru dan pentadbir berasa bangga atas kejayaan anda semua dan berazam untuk meneruskan usaha bagi meningkatkan kecemerlangan STPM pada tahun ini pula. Kejayaan yag anda capai ini juga akan menjadi pembakar semangat dan pendorong kepada calon-calon STPM pada tahun ini.

Sekalung tahniah kepada 8 orang murid yang telah memperoleh Prinsipal A dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (9 orang murid memperoleh A bagi Kertas 2). Peningkatan ini sangat membanggakan cikgu, kerana jika dibandingkan pada tahun 2007, cuma dua orang sahaja murid yang mendapat Prinsipal A. Tahun 2008 juga menunjukkan bahawa mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Pengajian Am telah mencapai tahap cemerlang iaitu 100% lulus berbanding dengan 80% lulus pada tahun 2007. Hal ini bermakna, semua murid lulus dengan sekurang-kurangnya memperoleh Prinsipal C dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Pengajian Am. Usaha anda selama ini akhirnya mendapat hasil yang amat membanggakan semua warga SMKBBST. Anda telah membuktikan bahawa anda memang layak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang ini.

Tahniah juga cikgu ucapkan kepada 9 orang murid yang menerima pelawaan untuk melanjutkan pengajian di USM (Universiti APEX) iaitu universiti yang juga menjadi tempat cikgu menimba ilmu pengetahuan sebelum menjadi seorang guru. Impian anda sebelum ini akhirnya benar-benar menjadi kenyataan, seperti yang selalu cikgu katakan di dalam kelas. Cikgu ingin menasihatkan agar semuanya menguatkan azam dan meningkatkan usaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang semasa berada di universiti yang telah diumumkan sebagai universiti APEX ini pada tahun lepas. Oleh itu, janganlah sia-siakan peluang yang telah diberikan kepada anda ini.

Bersyukurlah dengan kejayaan yang telah anda peroleh ini dan jadikannya sebagai titik permulaan untuk mencapai kejayaan yang seterusnya. Semua guru dan ibu bapa anda juga pastinya sentiasa mendoakan kejayaan anda semua. Bagi 4 orang murid lagi yang masih belum mendapat tawaran daripada mana-mana universiti, janganlah berasa kecewa, cikgu doakan agar anda juga akan memperoleh tawaran yang sama daripada universiti-universiti yang lain. Insyaallah, semuanya akan mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di universiti lain di negara kita ini.

Daripada; Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, March 6, 2009

Analisis Soalan Kertas 2 STPM 2008

Analisis Soalan Kertas 2 Bahasa Malaysia STPM 2008

Calon-calon STPM tahun ini bolehlah meneliti analisis soalan tahun 2008, seperti yang dipaparkan. Sila teliti trend soalan tahun lepas untuk membuat jangkaan soalan pada tahun ini.

Bahagian A : Karangan

1. Telefon bimbit kini semakin digemari oleh masyarakat tanpa mengira golongan. Jelaskan sebab alat ini menjadi piihan ramai dan kesan yang timbul daripada penggunaannya. (Tiada format khusus)
2. Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang telah berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah gejala rasuah perlu dibendung? (Tiada format khusus)
3. Bersempena dengan Kempen Pengguna Bijak yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, anda telah terplih mewakili daerah dalam pertandingan syarahan anjuran Jabatan Pelajaran Negeri. Tajuk syarahan anda ialah ”Hak-hak Pengguna”. Tulis teks syarahan anda itu. (Format Syarahan)
4. Pada masa ini, kebanyakan rancangan televisyen lebih mementingkan keuntungan kewangan berbanding dengan melaksanakan tanggungjawab sosial. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini? (Tiada format khusus)

Bahagian B : Rumusan

2008
Soalan 5
Malaysia sebagai pusat produk makanan halal dunia – usaha untuk merealisasikannya.

Bahagian C : Alih Bentuk Bahasa

2008
Soalan 6
Petikan Undang-undang Pemeliharaan Haiwan
Soalan 7
Petikan Prosa klasik – Hikayat Siak

Bahagian D : Kesalahan Bahasa

2008
Soalan 8
Kesalahan Hukum DM, penjodoh bilangan, kata hubung, imbuhan, ayat tiada subjek (tergantung), tiada objek selepas kata kerja transitif.

Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim