Pengikut laman ini

Saturday, February 28, 2009

Tanggungjawab Semua Guru untuk Meningkatkan Penguasaan Bahasa Melayu Murid

Keberkesanan Pengajaran Mata Pelajaran Bahasa Melayu Menjadi Tanggungjawab Semua Guru Mata Pelajaran Lain

Keberkesanan pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu memerlukan kerjasama daripada guru-guru subjek yang lain. Guru Bahasa Melayu sahaja tidak mampu untuk memastikan kejayaan sepenuhnya tentang apa-apa yang diajarkan. Hal ini demikian kerana, ada murid yang terkeliru apabila guru-guru subjek lain mengabaikan hukum atau peraturan tatabahasa dalam bahasa Melayu. Guru-guru mata pelajaran lain mengatakan bahawa mata pelajaran lain tidak mementingkan aspek bahasa. Kesalahan ejaan dan aspek tatabahasa yang lain tidak diambil kira. Oleh itu, murid-murid sudah terbiasa dengan pengabaian aspek tatabahasa dalam mata pelajaran lain. Contohnya, dalam aspek penggunaan kata sendi nama ke dan di, dari dan daripada, di dalam dan dalam, pada dan kepada. Begitu juga dengan kesalahan penggunaan tatabahasa yang lain seperti selain daripada itu, membincangkan tentang, semua murid-murid, dan para guru-guru.

Guru-guru Bahasa Melayu memang menghadapi cabaran yang besar untuk membetulkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan bukan sahaja oleh murid-murid malahan guru-guru mata pelajaran lain. Hal ini demikian kerana, cuma guru-guru Bahasa Melayu sahaja yang menitikberatkan aspek tatabahasa dan ada penolakan markah terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar. Perkara ini akan menyebabkan murid-murid keliru dengan penggunaan tatabahasa yang betul dalam sesuatu ayat.

Ada juga sebahagian kecil daripada guru mata pelajaran lain memang kurang mahir dengan bahasa Melayu terutamanya guru-guru bukan Melayu. Tidak dinafikan pula, ada guru bukan Melayu yang berjaya menggunakan bahasa Melayu dengan fasih, lancar dan penggunaan tatabahasa yang betul. Ada kalanya penggunaan tatabahasa mereka lebih baik daripada guru-guru berbangsa Melayu sendiri.

Bukti lain yang menunjukkan pengabaian aspek tatabahasa bahasa Melayu juga boleh didapati daripada buku teks mata-mata pelajaran yang lain. Jadi, seharusnya aspek tatabahasa ini perlu diselaraskan dalam semua mata pelajaran yang menggunakan bahasa Melayu, termasuklah juga dengan buku teksnya. Orang yang mahir dalam tatabahasa bahasa Melayu perlu dipanggil dan dilibatkan bersama-sama untuk membetulkan kesalahan tatabahasa sebelum buku teks itu diterbitkan. Guru-guru Bahasa Melayu yang berpengalaman dan mahir dalam tatabahasa bahasa Melayu perlu diminta untuk menyampaikan kursus dalaman tentang tatabahasa kepada guru-guru mata pelajaran lain. Dalam hal ini, pihak pentadbirlah yang lebih berkuasa untuk menggerakkan aktiviti perkembangan staff di sekolah masing-masing. Pihak PPD juga boleh mengadakan kursus tatabahasa di peringkat daerah untuk guru-guru mata pelajaran lain.

Oleh hal yang demikian, usaha yang menyeluruh dan bersepadu perlu dijalankan demi melaksanakan penggunaan tatabahasa yang betul dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan juga mata-mata pelajaran lain yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Tanpa kerjasama yang menyeluruh daripada semua guru yang terlibat sudah tentu masalah penggunaan tatabahasa ini akan berterusan dan akan menjejaskan markah murid-murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Di samping meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan guru mata pelajaran Sains dan Matematik, kita juga perlu memperkasakan bahasa Melayu dengan memberi penekanan terhadap aspek tatabahasa yang betul. Jika sebarang langkah tidak diambil untuk memperkasakan bahasa Melayu, terutamanya dalam aspek tatabahasa sudah tentu generasi akan datang menghadapi masalah kecelaruan bahasa Melayu.

Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim

Thursday, February 19, 2009

Latihan Rumusan SPM

Latihan 1 Rumusan SPM

Untuk anak-anak murid cikgu, sila gunakan Formula ‘One’ (1621) untuk menjawab soalan latihan rumusan di bawah ini.

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan-kelebihan penggunaan teknologi insenarator untuk melupuskan sampah dan masalah-masalahnya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Masalah pelupusan sampah bukan sahaja dihadapi di negara kita, tetapi juga di negara-negara maju seperti Jepun dan Britain. Berdasarkan jumlah sampah yang semakin meningkat setiap tahun, pelupusan sampah secara konvensional sudah tidak praktikal lagi pada masa ini. Oleh hal yang demikian, kerajaan mahu rakyat bersedia untuk berkongsi bersama-sama bagi menanggung kos pelupusan sampah dengan menggunakan sistem yang lebih berkesan termasuklah penggunaan insenarator bagi memastikan penjagaan alam sekitar lebih terjamin. Malaysia akan menggunakan insenarator dalam tempoh lima tahun lagi bagi menggantikan kaedah pelupusan sampah yang sedia ada pada masa ini kurang berkesan.

Pelbagai cadangan telah dikemukakan bagi mengatasi masalah pelupusan sampah termasuklah pembinaan loji insenarator yang digunakan oleh negara-negara maju seperti Jepun, Jerman dan Denmark. Antara teknologi insenarator moden yang dimajukan termasuklah dengan menggunakan gasifikasi dan peleburan abu yang dapat mengurangkan pengeluaran dioksin pada tahap yang memenuhi piawaian antarabangsa. Teknologi ini direka bentuk dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar dan mampu merawat sampah dengan cepat. Selain itu, teknologi insenarator tidak menjejaskan kesihatan dan keselesaan penduduk yang berhampiran.

Selain dapat menyelesaikan masalah pelupusan sampah, teknologi insenarator juga mampu menjana tenaga yang dapat memenuhi keperluan untuk menggerakkan loji berkenaan. Di samping itu, teknologi tersebut berupaya untuk menjual tenaga yang dihasilkan kepada syarikat utiliti yang terdapat di negara ini. Terdapat juga insenarator bergerak yang menggunakan roda dan berupaya mengendalikan dua tan sisa termasuklah pepejal. Insenarator seumpama itu adalah berkonsepkan mesra alam dan tidak mencemarkan alam. Tambahan pula, insenarator tersebut berupaya untuk melakukan pembakaran yang bebas toksin terhadap sisa pepejal dan cecair domestik.

Mesin insenarator itu juga dapat mengurangkan jumlah sisa sehingga 90 peratus iaitu pengurangan besar yang sebelum ini terpaksa dibuang di tapak pelupusan sampah. Teknologi tersebut turut dikatakan tidak mengeluarkan bau busuk atau melepaskan gas bahaya ke udara. Oleh hal yang demikian, kita berharap agar pembinaan insenarator tersebut akan menjadi kenyataan pada masa yang telah dijangkakan. Hakikat yang perlu kita terima ialah kaedah pelupusan yang digunakan sekarang, tidak lagi mampu untuk menampung sampah yang kita buang setiap hari.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
‘Penggunaan Insenarator Tidak Dapat Dielakkan’,
Berita Harian, 10 Mac 2007)

Oleh; Cikgu Khir

Sunday, February 15, 2009

Kaedah Pengajaran Murid Sederhana dan Lemah

Kaedah Pengajaran Murid Berpencapaian Sederhana, Lemah, GALUS, atau GARUK
(Untuk rakan-rakan guru Bahasa Melayu terutamanya guru-guru SMKBBST)
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim


Pengenalan

Memang sudah menjadi lumrah alam bahawa murid-murid yang kita ajar mempunyai tahap pencapaian yang berbeza-beza. Ada yang cepat faham akan isi kandungan pelajaran yang diajarkan oleh guru, namun ada juga yang lambat untuk memahami isi pengajaran yang diajarkan oleh guru. Oleh hal yang demikian, terdapat pelbagai cara atau kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar murid sama ada yang cerdik dan pintar ataupun yang sederhana ataupun lemah. Penulis cuma akan menyentuh cara atau kaedah untuk mengajar murid yang sederhana dan lemah sahaja dalam perbincangan kali ini. Kaedah yang digunakan perlu dipelbagaikan kerana kelemahan murid pun berbeza-beza. Perkara yang sudah pasti ialah pelajar yang lemah juga, tidak menguasai kemahiran bahasa yang baik dan sering dikaitkan dengan masalah disiplin. Sering kali juga kita mendengar bahawa guru-guru akan melabel murid-murid tersebut dengan berbagai-bagai label atau panggilan yang negatif. Perkara ini perlulah dielakkan jika kita benar-benar hendak membantu murid yang lemah ini.

Cabaran dan Tanggungjawab Guru

Oleh hal yang demikian, cabaran yang terpaksa dihadapi oleh guru yang mengajar murid kelas lemah berbanding dengan kelas pandai adalah lebih hebat. Namun demikian, jadikan cabaran itu sebagai peluang untuk berbakti kepada anak bangsa. Selain itu apabila kita mengajar murid lemah, otak kita sentiasa bergerak cergas kerana kita memaksanya berfikir untuk mencari kaedah yang menarik dan sesuai untuk menangani pelbagai masalah di dalam kelas murid lemah ini.

Satu aspek yang paling penting dan perlu diberikan penekanan ialah kemahiran dalam kawalan kelas. Guru perlu mengawal kelas agar disiplin murid di dalam kelas murid lemah itu terkawal. Selain itu, terangkan kepada mereka sebab atau faktor yang menyebabkan guru mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana murid yang tidak mendengar arahan guru. Terangkan kepada murid, bahawa kita hidup memang dikawal oleh peraturan. Tidak kira kita berada di mana pun, sudah pasti ada peraturan atau undang-undang yang perlu dipatuhi. Di jalan raya, kita perlu mengikut peraturan, malahan di rumah pun ada peraturan yang perlu dipatuhi. Jadi, ketika berada di dalam kelas sudah tentu murid-murid perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh guru dan pihak sekolah.

Apabila kelas sudah dapat dikawal, barulah guru memulakan pelajaran. Biasanya bagi kelas murid lemah ini, guru-guru perlu menggunakan silibus minimum kerana tahap pencapaian mereka memang rendah. Jika mereka menguasai silibus minimum ini pun sudah bolehlah dibanggakan, kerana mereka kurang bermotivasi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi seperti murid-murid pintar yang lain. Namun begitu kita perlu memotivasikan mereka dengan memberikan peluang, harapan dan mereka juga perlulah berfikir secara positif. Elakkan sikap merendah-rendahkan kebolehan atau pencapaian mereka kerana perkara itu akan mematikan semangat mereka dan yang lebih buruk lagi akan menyebabkan mereka benci kepada guru dan mata pelajaran yang diajarkan oleh guru itu.

Sebagai guru, kita perlu menekankan pembelajaran yang berkesan di dalam kelas. Pengajaran yang berkesan merupakan pengajaran yang membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan, sikap dan objektif yang telah ditetapkan. Pakar-pakar pendidikan juga mengatakan bahawa pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang menarik. Pengajaran berkesan atau efektif juga sebenarnya merupakan pengajaran yang digemari oleh pelajar. Oleh hal yang demikian, pengajaran yang efektif dapat ditakrifkan sebagai suatu aktiviti yang berupaya meningkatkan hasil pembelajaran dalam suasana yang sihat, demokratik dan bersemangat. Hasil pembelajaran yang dimaksudkan ialah perubahan tingkah laku pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek akibat penerimaan pengetahuan atau kepercayaan baharu. Menurut Wan Zah Wan Ali (2000), guru yang efektif mempunyai sikap yang adil dan tidak pilih kasih, bertimbang rasa, baik hati, bertanggungjawab, suka menolong individu yang lain, banyak bersabar dalam melayani kerenah pelajar, tenang, dan stabil emosinya.

Guru juga perlu mengamalkan sikap peramah dan mudah didekati. Dengan cara yang demikian, pelajar tidak akan berasa takut untuk bertanya soalan atau berkomunikasi dengan guru. Seterusnya, guru perlulah memberikan pujian walaupun jawapan mereka kurang tepat dan jangan sekali-kali menghina atau memandang rendah terhadap mereka walaupun jawapan yang diberikan oleh mereka itu tidak tepat atau salah. Perkara ini akan memberikan keyakinan kepada mereka untuk menjawab soalan yang lain pada masa akan datang. Hal ini juga akan menimbulkan tanggapan positif pelajar terhadap guru. Pelajar akan menganggap guru mudah dihampiri dan guru juga perlulah menyelitkan unsur humor atau jenaka di dalam kelas agar tidak membosankan murid. Perkara ini penting kerana mereka berasa selesa, tertarik dan lebih yakin untuk belajar dalam keadaan yang sedemikian. Guru juga seharusnya mempunyai personaliti dinamik, iaitu menarik, aktif, dan bersungguh-sungguh semasa mengajar murid. Selain itu, guru juga perlu memberikan contoh teladan yang baik serta memakai pakaian yang kemas dan sesuai untuk menggambarkan imej sebagai seorang pendidik yang cemerlang.

Kajian Tindakan

Guru-guru seharusnya menjalankan kajian tindakan di dalam kelas. Kajian tindakan perlu dijalankan kerana guru dapat mengenal pasti kelemahan murid di dalam kelasnya sendiri dan cuba untuk membimbing atau merawat murid-murid yang lemah. Sudah tentu guru-guru yang mengajar murid-murid di dalam kelasnya sendiri yang mengetahui kelemahan yang dihadapi oleh murid-muridnya. Oleh hal yang demikian, guru-guru perlulah mencari cara atau teknik yang sesuai untuk mengatasi kelemahan murid-muridnya itu. Sekurang-kurangnya guru perlu memikirkan cara atau teknik untuk membantu murid-muridnya dalam mata pelajaran yang diajarnya itu. Sekiranya cara atau teknik yang digunakan itu kurang berkesan untuk mengatasi kelemahan muridnya itu, maka guru bolehlah mencuba cara atau teknik yang lain. Guru-guru boleh berbincang dengan rakan-rakan sejawatan untuk mencari cara dan teknik yang berkesan itu. Perkara yang lebih penting ialah semangat guru itu untuk mencari cara atau teknik yang berkesan perlulah diberikan pujian dan mereka tidak seharusnya mudah berputus asa jika gagal buat kali pertama. Guru perlu mencuba pelbagai cara atau teknik, walaupun beberapa kali sehinggalah bertemu dengan cara atau kaedah yang berkesan.
Guru boleh bertanya kepada murid-murid dan berbincang dengan mereka tentang cara-cara atau teknik-teknik yang disukai oleh mereka semasa di dalam kelas. Guru bolehlah menggunakan cara yang disukai oleh murid agar pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Selain itu guru boleh mendapatkan pandangan murid tentang cara yang digunakan oleh guru sebelum ini, sama ada cara itu membosankan atau menarik perhatian mereka. Jika jawapannya negatif, guru harus mengubah teknik tersebut. Guru juga perlu mendapatkan komen atau pandangan murid tentang perkara-perkara yang tidak disukai oleh mereka terhadap guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Selain secara lisan, guru juga boleh mengedarkan soal selidik yang ringkas ataupun murid-murid menulis sebarang komen tentang cara guru mengajar murid.

Teknik Pengajaran yang Berkesan

Guru-guru seharusnya peka dengan tuntutan Kementerian Pelajaran yang mahu kaedah pengajaran guru mestilah berpusatkan pelajar dan tidak berpusatkan guru. Dengan menggunakan kaedah tersebut, sudah tentu kaedah pengajaran mesti menarik perhatian mereka. Tambahan pula murid-murid yang lemah ini lebih berminat terhadap pengajaran guru jika mereka dilibatkan sama dengan aktiviti yang disukai oleh mereka. Murid-murid tersebut hendaklah diberikan aktiviti yang berbentuk "hands on" dan perkara ini tidak membosankan mereka. Untuk menarik perhatian murid, guru-guru perlulah menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan bahan bantu belajar (BBB). Oleh yang demikian sudah tentulah memerlukan BBB yang digunakan untuk menarik perhatian murid selain faktor guru yang mesra dan tidak terlalu serius semasa pengajaran dan pembelajaran. Pakar-pakar dalam bidang pendidikan juga sering mengaitkan bahawa pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang menarik.

Dalam mengendalikan kelas yang lemah dan bermasalah ini, guru perlulah bersikap tegas terhadap murid tetapi bukannya garang. Hal ini demikian kerana, murid-murid perlu diberikan penerangan tentang sebab-sebab guru perlu bertindak dengan tegas semasa pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Oleh itu guru-guru perlu mendampingi murid-murid dan bimbinglah mereka kerana mereka sebenarnya memerlukan bimbingan. Selain itu guru juga tidak seharusnya bersikap prejudis dan pilih kasih semasa mengajar murid di dalam kelas. Hal ini demikian kerana murid-murid tidak suka akan guru-guru yang bersikap sedemikian. Oleh itu guru-guru perlu menghormati murid-muridnya dan insyaallah, murid-murid juga akan hormat kepada guru. Perkara ini sudah menjadi lumrah iaitu murid-murid ini juga manusia biasa dan perlu dihormati untuk meningkatkan harga diri mereka. Biasanya murid-murid yang selalunya biadap terhadap guru juga akan tunduk kepada guru yang menghormati mereka dan meningkatkan harga diri mereka.

Guru-guru perlulah memberikan harapan dan sokongan moral kepada pelajar untuk berjaya atau lulus dalam peperiksaan. Selalu ingatkan mereka agar berfikir secara positif dan yakinkan mereka bahawa mereka boleh lulus dalam peperiksaan tetapi mestilah diikuti dengan usaha gigih dan berterusan tanpa mengenal putus asa. Guru-guru hendaklah selalu memberikan pujian dan kata-kata semangat terhadap murid sebagai dorongan untuk mereka belajar dan lulus dalam peperiksaan. Selain itu cari perkara disukai oleh mereka dalam pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya ada murid yang pandai melukis, minta mereka melukis perkara yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran pada hari itu di dalam kelas.

Guru-guru juga harus kreatif dan mencipta kaedah sendiri yang berkesan dan biasanya berbentuk formula yang memudahkan murid mengingat sesuatu fakta. Sebagai contohnya, gunakan formula ”IniKah Cinta” (Isi, Kesan dan Contoh) untuk menghurai isi karangan dalam satu perenggan. Selain itu, guru-guru perlu memberi latihan kepada murid mengikut tahap dan kemampuan mereka. Beri latihan yang mudah kepada pelajar lemah atau permudahkan latihan itu dengan memberikan latihan terarah atau mengisi tempat kosong. Di samping itu guru-guru juga perlu melatih pelajar untuk membuat pembetulan terhadap kesalahan yang dilakukan dan guru perlu menyemak latihan murid dengan teliti. Pastikan murid membuat pembetulan bagi setiap kesalahan yang ditandakan. Seterusnya langkah yang akhir ialah teknik latih tubi atau teknik hafalan perlulah dilakukan dan kalau perlu lengkapkan murid dengan fakta-fakta penting yang mungkin ditanya dalam peperiksaan. Hal ini boleh membantu mereka sekurang-kurangnya untuk lulus dalam peperiksaan.

Penutup

Kesimpulannya, guru-guru yang mengajar murid-murid yang lemah memang berhadapan dengan cabaran yang hebat. Oleh hal yang demikian, guru-guru perlulah bersemangat dan bermotivasi tinggi semasa berada di dalam kelas untuk menggalakkan murid-murid bersemangat dan bermotivasi semasa belajar. Selain itu elakkan sikap mengajar murid cuma setakat menjalankan tugas semata-mata. Dengan perkataan lain, guru-guru mesti memiliki komitmen yang tinggi terhadap murid dan sanggup membuat kerja lebih demi membantu murid. Di samping itu, anggaplah masalah yang dihadapi di dalam kelas itu sebagai cabaran dan peluang untuk memberikan sumbangan dan bukannya masalah atau halangan. Jangan lupa bahawa kerja itu juga sebagai ibadah dengan syarat kerja itu dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Perlu diingat bahawa mendidik murid juga merupakan satu perjuangan, sama seperti berjuang di medan jihad. Diharapkan usaha kita diberkati dan mendapat hasil seperti yang diharapkan iaitu untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang mengikut kemampuan masing-masing.
Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, February 9, 2009

Novel Tingkatan 4 : Bukit Kepong

Sinopsis/Ringkasan cerita
Novel Bukit Kepong mengisahkan Inggeris mengisytiharkan darurat ke seluruh Tanah Melayu pada bulan Jun 1948 akibat ancaman pengganas komunis. Othman yang pada masa itu baru berumur 19 tahun dan berasal dari Kampung Keladi di Kulim, Kedah berminat untuk menjadi anggota polis walaupun dilarang oleh ibunya. Setelah menamatkan latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, Othman berkahwin dengan Limah. Selepas itu dia memulakan tugasnya sebagai anggota polis di Pagoh, Muar, Johor.

Beberapa bulan kemudian, Othman ditukarkan ke Rumah Pasung Bukit Kepong. Limah yang sedang hamil ketika itu terpaksa dihantar balik ke kampung. Pada masa itu ancaman pengganas komunis di Bukit Kepong dan kawasan sekitarnya semakin hebat.

Pada suatu subuh iaitu pada 23 Februari 1950, kira-kira 200 orang pengganas komunis menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong yang hanya dipertahankan oleh 18 orang anggota polis. Pasukan polis diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd Shah. Walaupun bilangan anggota polis sangat kecil tetapi mereka meneruskan perjuangan menentang pengganas komunis dengan berani. Akhirnya hanya empat orang sahaja anggota polis yang terselamat, termasuklah seorang anggota polis tambahan. Othman turut terselamat tetapi mengalami kecederaan di lutut kiri dan tangan kirinya.

Setelah menerima rawatan selama empat minggu di Hospital Muar, Othman dibenarkan bercuti. Dia segera balik ke kampung. Isterinya yang baru melahirkan anak lelaki mengalami tekanan jiwa apabila mendapat berita kononnya Othman sudah meninggal dunia. Othman diarahkan bertugas di Rumah Pasung Kota Sarang Semut sebelum meletakkan jawatan apabila keadaan isterinya semakin teruk sehingga dihantar ke Hospital Bahagia di Ipoh. Kaki kiri Othman pula terpaksa dipotong kerana kecederaannya tidak dapat dipulihkan.

Tema
Perjuangan dan pengorbanan anggota polis untuk mempertahankan maruah bangsa dan tanah air daripada ancaman musuh.

Persoalan
1. Sikap taat setia kepada tugas dan negara
2. Keberanian dalam kalangan anggota polis ketika menghadapi musuh negara
3. Kerjasama antara penduduk kampung dengan anggota polis
4. Sikap mengenang jasa dan menghargai pengorbanan orang bawahan
5. Sikap sabar dan cekal dalam menjalankan tugas
6. Kasih sayang antara sesama manusia


Watak Utama
Othman bin Yusof
Perwatakan Othman
- Anak sulung Pak Yusof dan Mak Piah.
- Berasal dari Kampung Keladi di daerah Kulim, Kedah.
- Tubuh badannya gempal dan sederhana tinggi serta berkulit cerah.
- Bersekolah setakat darjah tiga dan bekerja sebagai penoreh getah sebelum menjadi anggota polis.
- Berkahwin dengan Limah


Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Thursday, February 5, 2009

Komponen Sastera SPM - Cerpen Tingkatan 4

Sinopsis Cerpen Menatap Wajahnya
(untuk murid-murid tingkatan 4 & 5 terutamanya 4ST1, 4PD, dan 4KM)

Cerpen ini mengisahkan pergolakan jiwa Muliati, gadis cacat yang baru saja menamatkan pengajian di universiti. Pergolakan dalam jiwa Muliati itu berpunca daripada perasaan rindunya kepada Cikgu Balkis. Cikgu Balkis bukan sahaja pernah mengajarnya, malah Cikgu Balkis telah menganggapnya sebagai anak angkat. Namun demikian, sewaktu Muliati belajar di Tingkatan Lima, dia terbabit dalam kemalangan, iaitu ketika menyertai ekspedisi ke dalam hutan. Akibat kemalangan itu, kaki dan tangannya cacat. Dalam keadaan yang serba kekurangan itu, Cikgu Balkis terus memberikan semangat dan dorongan kepada Muliati supaya meneruskan pelajaran ke universiti. Ayah, ibu dan tiga orang adiknya pula terkorban dalam satu kemalangan jalan raya. Selepas kematian ayah dan ibunya itu, dia telah dijaga oleh neneknya.

Muliati tabah dan gigih untuk meneruskan pelajarannya di universiti walaupun dirinya cacat. Dia tidak pernah mengesali perkara buruk yang telah menimpa dirinya itu. Sebaliknya, dia terus berusaha dengan prinsip hidup “selagi dia hidup, selagi itulah perjuangannya akan diteruskan”.

Namun demikian, apabila Muliati berjaya melanjutkan pelajarannya ke universiti, Cikgu Balkis telah berubah sikap. Beliau enggan bertemu atau ditemui oleh Muliati. Pelbagai alasan telah diberikan oleh Cikgu Balkis kerana tidak mahu bertemu dengan Muliati. Sikap Cikgu Balkis itu benar-benar telah menyeksa perasaan Muliati. Pada hari konvokesyennya, Muliati telah menerima sekeping poskad daripada Cikgu Balkis di London. Cikgu Balkis berada di kota itu untuk menjalani pembedahan bagi merawat penyakit ganjilnya. Perkara ini menyebabkan Muliati berasa sangat sedih.
Watak dan Perwatakan

Watak utama

Muliati
· Seorang gadis cacat iaitu kedua-dua belah kakinya tempang dan tangan kirinya kudung.
·

Watak sampingan

Cikgu Balkis
Sebagai latihan kepada murid-murid tingkatan 4ST1, 4PD, dan 4KM, sila lengkapkan perwatakan Muliati dan Cikgu Balkis.
Oleh Cikgu Khir Kassim.