Pages

Saturday, August 29, 2009

Selamat Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara dan Karangan STPM

Cikgu ingin mengucapkan selamat hari ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52 pada 31 Ogos ini kepada semua. Diharapkan semuanya dapat menghayati erti kemerdekaan negara yang sebenar.

Cikgu juga akan memaparkan soalan contoh dan karangan contoh tentang semangat patriotik untuk tatapan bersama.


Soalan Contoh
Semangat patriotik dikatakan semakin luntur dalam kalangan rakyat negara ini.
Huraikan usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita.


Karangan Contoh
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini dikatakan demikian kerana semuanya sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, usaha-usaha perlu dilakukan supaya semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu, media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara. Dengan cara itu, kesedaran tentang semangat cinta akan negara dapat ditingkatkan.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga, dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberikan makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Sebagai kesimpulannya, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama, dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Sekiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Sunday, August 16, 2009

Ulang kaji Komponen Sastera (Sajak) SPM 2009

Dengan berdasarkan analisis soalan komponen sastera yang telah dibuat oleh rakan guru Bahasa Melayu melalui blognya, iaitu Cikgu Mohd Zaki Hj. Awang Mat, terdapat 5 sajak lagi yang belum pernah ditanya dalam peperiksaan SPM. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah memfokuskan sajak-sajak tersebut semasa mengulang kaji komponen sastera SPM. Saya akan memaparkan maksud kelima-lima sajak tersebut kali ini untuk membantu pelajar supaya ingat akan maksudnya semula.

1. Sajak Derita Pertama
Maksud sajak
Rangkap 1:
Adam terdampar ke dunia akibat melanggar perintah Allah yang melarangnya makan buah khuldi.

Rangkap 2:
Adam terlantar di tempat baru pada waktu tengah malam. Adam tidak mengerti suasana di tempat baru itu.

Rangkap 3:
Adam berasa cemas berada dalam keadaan yang gelap gelita.

Rangkap 4:
Sepanjang malam Adam bingung dan sedih menghadapi keadaan itu seorang diri.

Rangkap 5:
Sepanjang malam itu Adam hanya menangis sambil merenung bulan di angkasa.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah nilai kemanusiaan dan pengajaran.


2. Sajak Anak Laut
Maksud sajak
Rangkap 1:
Nelayan tua terkenang akan koleknya di laut. Dengan kolek itulah dia mencari rezeki di laut.

Rangkap 2:
Kolek usang dan nelayan tua mempunyai persamaan, iaitu saat kemusnahan dan kematian semakin hampir.

Bentuk sajak

Bentuknya bebas.

Terdiri daripada dua rangkap

Bilangan baris dalam rangkap tidak sama; rangkap pertama ada sembilan baris; rangkap kedua ada lima baris.

Panjang pendek barisnya tidak sama; paling pendek ada satu perkataan dan yang paling panjang ada 5 perkataan.

Suku kata dalam baris juga tidak sama; antara satu suku kata hingga tiga belas suku kata.

Rima akhirnya bebas/tidak sama

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, bentuk dan nilai kemanusiaan.

3. Sajak Jalan-jalan Raya Kotaku
Maksud Sajak
Rangkap 1:
Sepanjang perjalanan di kota, kesesakan jalan raya menguji kesabaran para penggunanya.

Rangkap 2:
Kebanyakan pengguna jalan raya hilang sabar. Ada juga pengguna jalan raya yang sombong dan bertindak mengikut perasaan. Keadaan sebegitu menyebabkan perjalanan terasa amat membosankan.

Rangkap 3:
Tiada sopan santun di jalan raya. Para pengguna jalan raya menonjolkan kelebihan dan kekuatan sehingga hilang sifat sopan santun. Demikianlah sifat warga kota pada masa kini.

Rangkap 4:
Jalan raya menjadi tempat manusia melakukan keganasan. Tiada lagi nilai murni dalam diri manusia pada akhir zaman ini.


Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah tema, nilai-nilai kemanusiaan dan pengajaran.


4. Sajak Duhai Pentafsir

Maksud sajak
Penyajak mencari pentafsir atau pembimbing yang dapat memimpinnya ke jalan kebenaran.
Dalam usia tua, penyajak menyedari segala kesilapannya, tetapi dia belum menemui petunjuk atau hidayah.
Oleh sebab itu, kehidupannya penuh dengan keresahan.
Dia melakukan kesilapan kerana tidak mendapat pendidikan agama yang cukup sejak kecil.
Penyajak sedar akan keadaan dirinya yang semakin tua dan kekuatan fizikalnya yang semakin berkurang.
Keadaan itu menyukarkannya untuk mendalami ilmu agama.
Selama ini penyajak terpengaruh oleh pelbagai gejala negatif tetapi kini dia telah sedar dan ingin mendampingi Tuhan.


Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, bentuk dan nilai kemanusiaan.


5. Sajak Di Ruang Gemanya

Maksud Sajak
Penyajak menumpukan seluruh taat setianya kepada negara dan senantiasa berharap agar negaranya akan mencapai kejayaan dan kegemilangan.
Demi rasa setianya itu, dia sanggup menghadapi sebarang rintangan tanpa mengenal rasa kecewa atau derita.
Penyajak juga menganggap dugaan yang dihadapi adalah sebagai adat kehidupan dan dia sanggup berkongsi pengalamannya dengan orang lain untuk menghadapi pelbagai bentuk cabaran hidup.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah bentuk, persoalan dan pengajaran.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Sunday, August 9, 2009

Ulang kaji Komponen Sastera (Cerpen) SPM 2009

Dengan berdasarkan analisis soalan komponen sastera yang telah dibuat oleh rakan guru Bahasa Melayu melalui blognya, iaitu Cikgu Mohd Zaki Hj. Awang Mat, terdapat 3 cerpen lagi yang belum pernah ditanya dalam peperiksaan SPM. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah memfokuskan cerpen-cerpen tersebut semasa membuat ulang kaji komponen sastera SPM. Saya akan memaparkan ringkasan cerita ketiga-tiga cerpen tersebut kali ini untuk membantu pelajar supaya ingat akan ceritanya semula.

1. Cerpen Annyss Sophillea

Ringkasan Cerita
Cerpen ini mengisahkan Annyss Sophillea dari planet Alstonia yang hendak mencari kembarnya, iaitu Eyrique Etiqaz di bumi. Di bumi, dia bersahabat baik dengan Akmal. Setelah gagal mencari kembarnya, Annyss Sophillea kembali ke Alstonia. Dia bertemu dengan Strenn, iaitu sepupunya yang telah merampas kuasa kerajaan Alstonia. Sepatutnya Eyrique Etiqazlah yang mewarisi takhta kerajaan itu.

Annyss Sophillea pula berasa yakin bahawa Strenn telah menyembunyikan kembarnya itu supaya dapat terus kekal berkuasa. Oleh itu, dia berusaha untuk mencari Eyrique Etiqaz. Pada masa itulah Akmal datang untuk memberikan bantuan kepada Annyss Sophillea. Akmal berjaya naik ke Alstonia dengan menunggang eustary. Annyss Sophillea memberitahu Akmal bahawa dia dipisahkan daripada kembarnya supaya mereka menjadi lemah, sebaliknya jika mereka bersatu, mereka akan menjadi sangat kuat.

Akhirnya Annyss Sophillea dan Akmal berjaya menemui Eyrique Etiqaz di sebuah bilik kurungan di hujung terowong rahsia. Mereka pun mengeluarkan Eyrique Etiqaz dari bilik kurungan itu. Tenaga Eyrique Etiqaz pulih dalam masa yang singkat apabila dia menyentuh tanduk eustary.

Pada masa itu juga, Strenn datang dan menyebabkan dia dan Eyrique Etiqaz beradu kekuatan. Masing-masing memiliki kesaktian untuk mengalahkan lawan masing-masing. Pada suatu peringkat, apabila melihat Eyrique Etiqaz hampir kalah, Akmal mengeluarkan pistol lalu menembak Strenn, namun demikian di Alstonia, sesiapa yang membunuh orang maka dia juga akan turut terbunuh. Oleh sebab itu, Akmal turut tumbang dan merasai kesakitan yang ditanggung oleh Strenn. Walau bagaimanapun, Annyss Sophillea dan Eyrique Etiqaz sempat meletakkan tangan mereka pada dada Akmal untuk menyelamatkan nyawa sahabat mereka dari bumi itu.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah perwatakan dan latar. Oleh itu fokuskan perhatian pada perwatakan Annyss Sophillea dan latar tempat serta latar masyarakatnya.

2. Cerpen Lambaian Malar Hijau
Ringkasan Cerita

Cerpen ini mengisahkan Daneng, anak orang Asli dari perkampungan di Lembah Tualang yang enggan meneruskan pelajaran walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Daneng sudah meninggalkan sekolah berasrama itu selama enam bulan dan kembali ke tempat tinggalnya semula. Cikgu Jo yang tidak mudah berputus asa terus memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya. Pada peringkat awalnya Daneng tetap berkeras dan tidak mahu menyambung pelajarannya kerana terlalu cinta akan kawasan hutan yang dianggapnya sebagai warisan nenek moyangnya.

Cikgu Jo menasihati Daneng agar melanjutkan pelajaran, kerana dengan ilmu dan kedudukan yang baik, dia akan dapat menjaga hutan itu dengan lebih berkesan. Akhirnya hati Daneng menjadi lembut dan dia bersetuju untuk meneruskan pelajarannya.

Dua puluh lima tahun kemudian, Daneng telah berjaya menerima Hadiah Nobel kerana usahanya memulihara, memelihara, dan menambah kawasan hutan di negara ini. Daneng telah dianugerahi gelaran “Datuk” atas segala usahanya itu. Sementara itu, Cikgu Jo pula berbangga dengan pencapaian pelajarnya itu. Di samping itu “Datuk Daneng” sebagai orang yang tidak cepat lupa daratan, terus mengenang jasa Cikgu Jo yang amat besar itu.

Aspek komsas yang mungkn ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, perwatakan dan latar. Oleh itu, fokuskan perhatian pada gaya bahasa, perwatakan watak utama, iaitu Daneng dan latar tempat, di samping latar masyarakatnya.

3. Virus Zel Untuk Abah
Ringkasan Cerita

Cerpen ini mengisahkan Zel ialah seorang gadis yang berusia 20 tahun dan sedang mengalami tekanan perasaan akibat perceraian antara ibu dengan bapanya. Zel sebenarnya dahaga akan kasih sayang ayahnya, tambahan pula ibunya asyik sibuk dengan kerjanya iaitu menguruskan perniagaan komputernya. Zel kecewa kerana ayahnya tidak memahami perasaannya. Ibu Zel ialah seorang wanita yang berpelajaran dan berfikiran terbuka. Dia meminta Zel menerima hakikat bahawa ayah dan ibunya telah berpisah. Ibunya memberikan nasihat supaya Zel jangan menyimpan dendam terhadap ayahnya atau keluarga baru ayahnya. Walau bagaimanapun ibunya membenarkan Zel ke rumah ayahnya yang kini sudah berkahwin dengan Syarifah dan mempunyai tiga orang anak iaitu Awi, Aman, dan Arif.
Di samping itu kawan Zel, iaitu Win menasihati Zel supaya jangan bertindak mengikut emosi. Hal ini demikian kerana, Zel sudah berusia 20 tahun dan bakal menjadi penuntut jurusan undang-undang di United Kingdom. Pada suatu hari, Zel mengikut abang tirinya, Awi untuk membeli hadiah sempena hari lahir ayah mereka. Mereka bertengkar ketika memilih warna yang menjadi kegemaran ayah mereka. Perasaan Zel semakin tertekan apabila Awi meminta Zel supaya jangan mengganggu ayahnya lagi.
Dendam Zel terhadap ayah dan keluarga barunya membara semula. Dia ingin melepaskan virus Zel untuk memusnahkan Program ZQ 1308 yang sangat penting kepada keluarga ayahnya. Win sempat memujuk Zel supaya membatalkan niat buruknya itu. Akhirnya, Zel membatalkan niatnya untuk membalas dendam walaupun dia tetap berasa sakit hati.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah perwatakan dan nilai-nilai kemanusiaan. Oleh itu, fokuskan perhatian pada perwatakan watak utama dan nilai-nilai kemanusiaan serta pengajarannya.
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, August 4, 2009

Rumusan Karangan STPM

Kekeliruan tentang Rumusan Karangan STPM

Bagi murid-murid Tingkatan 6 Bawah atau Prauniversiti Bawah, soalan rumusan mungkin masih mengelirukan mereka. Hal ini demikian kerana, murid-murid masih terpengaruh oleh soalan Rumusan SPM. Mereka lebih cenderung untuk mencari isi tersurat dan tersirat. Oleh itu, murid-murid perlulah membiasakan diri dengan soalan Rumusan STPM dan menyesuaikan format soalan Rumusan Karangan STPM.

Murid-murid hendaklah melupakan soalan Rumusan SPM dan memberikan fokus atau tumpuan terhadap Rumusan Karangan STPM. Dalam soalan Rumusan STPM, murid-murid perlu mencari Isi Utama, Isi Sokongan, dan Kesimpulan. Dalam soalan Rumusan SPM. murid-murid sudah diberikan fokus isi tersurat dan tersiratnya. Murid-murid juga perlu menulis pendahuluannya di samping kesimpulan yang perlu difikirkan sendiri oleh pelajar.

Bagi soalan Rumusan Karangan STPM pula, murid-murid tidak perlu memikirkan isi-isi tersiratnya. Semua isi, iaitu sama ada Isi Utama, Isi Sokongan atau Kesimpulan perlu dicari dan diambil daripada petikan yang disediakan. Perkara penting yang perlu diberikan penekanan oleh murid-murid ialah mencari Isi Utama yang tidak dinyatakan dalam fokus soalan seperti SPM. Isi Utama mestilah dicari daripada perenggan pertama petikan. Selain itu, Isi Utama itu juga perlu jelas berdasarkan idea dalam perenggan pertama setiap petikan.

Isi Sokongan pula perlu dicari dan diambil daripada perenggan-perenggan lain dalam petikan tersebut. Setiap Isi Sokongan juga mesti jelas berdasarkan idea yang terdapat dalam petikan. Kebiasaannya, terdapat 5 hingga 6 Isi Sokongan daripada setiap petikan Rumusan Karangan. Isi Sokongan merupakan isi-isi lain yang menyokong Isi Utama.

Setelah mendapat 5 atau 6 Isi Sokongan, murid-murid perlu mencari Isi Kesimpulannya pula yang terdapat dalam perenggan akhir setiap petikan. Isi Kesimpulan juga perlu jelas berdasarkan idea dalam perenggan yang akhir daripada petikan.

Perbandingan antara Rumusan Karangan STPM dengan Rumusan SPM

1. STPM - Tiada fokus soalan
SPM - Ada fokus soalan
2. STPM - Tiada isi tersirat – semua isi ada dalam petikan
SPM - Ada isi tersirat
3. STPM - Ada isi Utama
SPM - Ada pendahuluan
4. STPM - Ada isi Sokongan
SPM - Ada isi tersurat dan tersirat
5. STPM - Ada isi Kesimpulan
SPM - Ada kesimpulan
6. STPM - Setiap isi perlu perlu jelas berdasarkan ayat-ayat dalam petikan
SPM - Isi perlu ringkas dan padat
7. STPM - Jumlah perkataan 180 – 190 perkataan
SPM - Jumlah perkataan tidak melebihi 120 perkataan
8. STPM - Perlu ditulis dalam 3 perenggan
SPM - Tiada format khusus tentang perenggan

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim