Pages

Thursday, June 25, 2009

Isu-isu Penting Karangan SPM 2009

Oleh sebab banyak pelajar yang mengemukakan pertanyaan tentang topik atau isu-isu penting yang berkaitan dengan soalan karangan SPM tahun ini, elok sekiranya saya paparkan isu-isu tersebut kali ini. Isu-isu tersebut dirasakan penting kerana belum pernah disoal dalam peperiksaan SPM sebelum ini. Selain itu, isu-isu tersebut juga terdapat dalam buku teks Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Walau bagaimanapun, isu-isu tersebut dijangkakan sahaja akan ditanya dalam peperiksaan tahun ini dan tidak semestinya akan ditanya dalam SPM nanti. Jadi, selain isu yang dikemukakan ini, pelajar-pelajar juga perlu menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lain. Hal ini demikian kerana, ada juga soalan yang dijangka ditanya tetapi tidak ditanya dalam peperiksaan dan begitu juga sebaliknya soalan yang tidak disangka-sangka akan ditanya tetapi ditanya dalam peperiksaan.

Isu-isu yang dirasakan penting untuk diberikan perhatian pada tahun ini telah disesuaikan dalam bentuk soalan contoh karangan SPM.

1. Warisan Bangsa
Soalan contoh:

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan-kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

2. Dunia Semakin Canggih
Soalan contoh:

Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.
Huraikan implikasi-implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.


3. Pelaburan
Soalan contoh:

Negara-negara yang sedang membangun sangat bergantung pada pelaburan asing untuk membangunkan ekonominya.
Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.


4. Kenaikan Harga Barang
Soalan contoh:

Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol telah banyak memberikan kesan kepada para pengguna di negara kita.
Jelaskan kesan-kesan dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah itu.

Saya ingin mengingatkan pelajar bahawa soalan-soalan contoh di atas cuma sebagai soalan panduan untuk membuat latihan penulisan karangan. Pelajar-pelajar juga boleh membina soalan sendiri dengan bimbingan guru masing-masing. Di samping itu, pelajar perlu berlatih untuk menulis karangan itu sendiri dan bukannya meminta karangan contoh atau menyalin karangan yang sudah siap sedia ditulis oleh orang lain. Janganlah mengharapkan karangan daripada orang lain sahaja. Pelajar perlu menulis karangan itu sendiri kerana pelajar yang cemerlang karangannya ialah pelajar yang banyak membuat latihan menulis karangan. Pelajar juga dinasihatkan untuk bertanya kepada guru bagi mendapatkan komen, pandangan dan bimbingan.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, June 20, 2009

Perenggan Penutup Karangan STPM dan SPM

Menulis Perenggan Penutup dengan Menggunakan Teknik KHPK dan KHH

Selepas memeriksa karangan pelajar-pelajar dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun, iaitu pada bulan Mei lalu, cikgu mendapati bahawa masih terdapat kelemahan dalam penulisan perenggan penutup atau kesimpulan. Kebanyakan pelajar menulis perenggan penutup atau kesimpulan yang pendek iaitu satu atau dua ayat sahaja. Perenggan itu juga tidak diolah dengan baik dan tidak dimasukkan peribahasa atau ungkapan yang menarik. Oleh itu cikgu akan membincangkan cara atau teknik untuk menulis perenggan tersebut agar dapat membantu pelajar-pelajar untuk memantapkannya.

i. KHPK – (Kesimpulan, Huraian, Peribahasa, Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 1

Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakkan jentera pentadbiran negara. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini dapat direalisasikan, sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada belenggu rasuah. (Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 2

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana ekonomi sesebuah negara. (Kesimpulan) Usaha-usaha yang serius hendaklah dipertingkat untuk menarik pelaburan asing agar hal ini akan menambahkan pelaburan ke dalam negara kita. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara sudah pastinya ekonomi negara tersebut sukar untuk berkembang. (Huraian – Apa kesannya) Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut mengalami masalah kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendaklah mencari jalan (Peribahasa) bagi menarik lebih banyak pelabur asing untuk membuat pelaburan. (Kepentingan)


ii. KHH (Kesimpulan, Huraian, Harapan)

Perenggan Penutup Contoh 3

Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk membanteras masalah jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Dengan kata lain, anggota masyarakat perlulah berganding bahu dengan pihak berkuasa iaitu melaporkan kejadian jenayah yang berlaku itu dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah ini sudah pasti dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa di negara kita. (H)


Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu pelajar-pelajar atau calon-calon STPM dan SPM untuk menghuraikan dan mengembangkan perenggan penutup atau kesimpulan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan setiap perenggan karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba teknik ini dan selamat mengarang.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Thursday, June 11, 2009

Kepentingan Set Induksi dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Set induksi memang penting dalam satu-satu pengajaran yang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Namun demikian, ada guru yang seolah-olahnya sudah melupakan set induksi ini. Pada hal, set induksi ini telah dipelajari dan dipraktiskan semasa menjalani latihan praktikum sebelum menjadi guru dahulu. Kebiasaannya, guru akan terus membincangkan topik yang hendak diajar tanpa menggunakan set induksi yang bersesuaian dengan topik tersebut. Sebenarnya, set induksi ini penting untuk menarik perhatian pelajar agar menumpukan perhatian terhadap topik atau perkara yang hendak dibincangkan oleh guru di dalam kelas. Sekiranya set induksi tidak digunakan dalam pengajaran, sudah pasti pelajar akan berasa bosan dan kurang memberikan perhatian terhadap pengajaran guru. Oleh itu, guru-guru haruslah menggunakan set induksi yang mudah tetapi menarik perhatian pelajar di dalam kelas.

Antara set induksi yang boleh digunakan adalah seperti gambar, surat khabar, majalah, benda-benda maujud seperti raket badminton, gunting, topi, kopiah, komputer riba, telefon bimbit, radio dan sebagainya. Sebagai contohnya, jika guru-guru hendak membincangkan sajak Tukang Gunting, guru-guru bolehlah menggunakan gunting sebagai set induksinya. Bagi pengajaran sajak Anak Laut, guru boleh menggunakan gambar nelayan atau perahu sebagai set induksinya.

Sekiranya guru-guru hendak membincangkan karangan tentang industri pelancongan, guru-guru boleh menggunakan gambar pantai, atau tempat-tempat percutian di Malaysia, atau lagu 'Cuti-cuti Malaysia'. Gambar pantai

Selain itu, sekiranya guru-guru hendak membincangkan karangan tentang kebaikan dan keburukan kad kredit, guru-guru bolehlah menggunakan kad kredit yang sebenar atau gambar kad kredit.


Gambar kad kredit

Selepas bahan rangsangan yang dijadikan set induksi itu dipaparkan atau ditunjukkan, kemukakanlah beberapa soalan yang berkaitan dengan bahan itu untuk merangsang pemikiran pelajar. Di samping itu, dengan menggunakan set induksi, murid-murid juga akan bersedia dari segi mindanya terhadap isi pelajaran yang akan dibincangkan oleh guru selepas itu Selain bahan rangsangan yang dinyatakan tadi, guru-guru juga boleh mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan topik perbincangan untuk merangsang mereka terhadap isi pelajaran keseluruhannya.

Guru-guru pula kebiasaannya akan memberikan beberapa alasan tentang sebab mereka tidak menggunakan set induksi semasa pengajaran dijalankan. Antara alasan yang sering diberikan ialah mereka hendak cepat menghabiskan sukatan pelajaran. Jadi, mereka tiada masa untuk menggunakan set induksi, dan menganggap set induksi itu tidak penting dalam pengajaran Bahasa Melayu. Namun demikian, kita perlu menyedari bahawa kegagalan guru untuk menggunakan set induksi ini pastinya akan menyebabkan pelajar kurang tertarik dan tidak berminat terhadap mata pelajaran yang diajarkan oleh guru.

Seterusnya, perkara ini mungkin akan membunuh minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut. Oleh itu, kita harus menerima hakikat bahawa set induksi ini akan membantu guru untuk menyedikan minda pelajar bagi mengikuti pelajaran selanjutnya. Jadi, guru-guru tidak harus memandang set induksi ini sebagai perkara yang tidak penting jika hendak menarik minat pelajar untuk menyukai atau meminati mata pelajaran Bahasa Melayu. Jangan terlalu mementingkan sukatan pelajaran atau isi kandungan pelajaran sahaja sehingga menyebabkan pelajar tidak belajar dalam keadaan yang menyeronokkan. Hal ini demikian kerana jika pelajar belajar dalam keadaan terpaksa dan tidak menyeronokkan, sudah pastilah kesannya tidak lama. Selanjutnya, pengajaran yang tidak menyeronokkan juga biasanya menyebabkan pengajaran guru menjadi kurang berkesan.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim